Gendong suami dari tingkat empat ke hospital

Nik Junainah mengendong suami menuruni tangga untuk jalani pemeriksaan di hospital.
Nik Junainah mengendong suami menuruni tangga untuk jalani pemeriksaan di hospital.
A
A
A

HULU LANGAT - Menjadi rutin seorang wanita untuk mengendong suami menuruni tangga dari rumahnya di tingkat empat untuk dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kisah guru agama dikenali Nik Junainah itu dikongsikan Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Facebook pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Nik Junainah perlu membawa suaminya ke hospital antara empat ke lima kali sebulan bagi pemeriksaan penyakit masalah kulit kronik (Psoriasis), sendi dan hati yang dihadapi sejak 12 tahun lalu.

"Nik Junainah seorang isteri yang taat pada suami tercinta, berkongsi di waktu susah dan sukar. Walau dalam situasi seorang yang bekerjaya, namun tanggungjawab utamanya terhadap suami tetap dijalankan.

"Jika dilihat pada sosok tubuh serta keupayaan seorang wanita, tidak mampu untuk mengendong, memapah tubuh yang tidak berdaya tetapi dengan kecekalan atas dasar tanggungjawab, segalanya menjadi mudah," kata kenyataan itu.

Nik Junainah menerima kunjungan wakil LZS bagi menyampaikan bantuan.
Nik Junainah menerima kunjungan wakil LZS bagi menyampaikan bantuan.

Tambah kenyataan itu, selain menguruskan suami sakit, Nik Junainah turut menguruskan dua anak yang masih bersekolah.

"Dengan pendapatan sebagai guru agama ditambah sedikit elaun Perkeso yang diterima, sebahagiannya digunakan untuk membiayai pinjaman perumahan, rawatan dan keperluan harian," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, keluarga ini layak didaftarkan sebagai asnaf miskin berdasarkan semakan yang dilakukan.

"Insya-ALLAH, mereka akan dibantu dengan bantuan kewangan, ansuran rumah serta bantuan perubatan bulanan untuk rawatan penyakit yang dihadapi

"Kerusi roda serta katil khas juga akan diberikan kepada suaminya.

"Alhamdulillah, asbab dari zakat yang ditunaikan, dapatlah kita berkongsi rezeki membantu keluarga seperti keluarga Nik Junainah," tambah kenyataan itu.