[VIDEO] 'Cukuplah kita ditipu hidup-hidup' - Zool Amali

Zool Amali (tengah) pada sidang akhbar bagi mengumumkan kemasukannya ke dalam Pas.
Zool Amali (tengah) pada sidang akhbar bagi mengumumkan kemasukannya ke dalam Pas.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO yang dilihat sudah lari daripada perjuangan sebenar menjadi faktor Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin memilih untuk keluar dari parti itu berkuat kuasa pada Sabtu.

Malah secara rasminya beliau mengumumkan akan berjuang bersama Pas dan menjangkakan lebih ramai ahli UMNO yang akan mengikut jejak langkah beliau selepas ini.

Menurut Zool Amali, bukan mudah untuknya membuat keputusan itu tetapi dia perlu berhijrah selain sudah hilang kepercayaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"UMNO sudah lari dari landasan kebenaran. Saya tidak lagi boleh berada dalam kelompok yang menyokong kebatilan kerana ia jelas telah lari dari prinsip.

"Sebenarnya orang UMNO telah ditipu. Sampai bila kita nak diperkudakan oleh kepimpinan di atas semata-mata untuk kepentingan sendiri," katanya selepas majlis penyerahan borang keahlian Pas kepada Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha di Kampung Rawa, Lenggeng di sini pada Sabtu.

Zool Amali (kanan) menyerahkan borang keahlian Pas kepada Rafiei.
Zool Amali (kanan) menyerahkan borang keahlian Pas kepada Rafiei.

Beliau turut menyerahkan 50 borang kemasukan ahli UMNO dari kawasan Lenggeng ke dalam Pas.

Ujarnya, UMNO secara dasarnya telah mencabuli hak ahli-ahlinya dan ramai sedih serta kecewa dengan keputusan UMNO bersama dengan Pakatan Harapan (PH) tanpa menghormati keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ada yang memintanya menunggu sehingga PAU 2022 tahun hadapan untuk bersuara menyatakan kekecewaan kepada parti.

"Tapi bagi saya dah tak berguna lagi kerana telah bersuara di peringkat cawangan dan telah dibawa ke bahagian sebelum diangkat dalam PAU tetapi akhirnya yang membuat keputusan adalah Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Jadi di mana suara akar umbi ini? Cukuplah kita ditipu hidup-hidup," katanya.

Sementara itu, Zool Amali berkata, beliau memilih menyertai Pas berbanding parti lain kerana sudah selesa bersama Pas ketika dalam Muafakat Nasional (MN).

Beliau turut menafikan dakwaan menyertai Pas kerana telah dijanjikan 'sesuatu' sebaliknya ia dibuat secara sukarela.

"Kalau kerana jawatan atau sesuatu lebih baik saya terus bersama UMNO yang kini jadi kerajaan. Tapi saya tak mampu lagi.

"Sekarang ini boleh dikatakan hari-hari ada yang datang minta borang Pas kepada saya dan sekarang maklum balas yang saya terima ada tiga atau empat cawangan Pas yang akan dibuka di Lenggeng," katanya.