EU beri amaran keras terhadap Elon Musk

Elon Musk. - AFP
Elon Musk. - AFP
A
A
A

BRUSSELS - Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran kepada billionair Elon Musk bahawa Twitter boleh dikenakan sekatan di bawah undang-undang media massa selepas penggantungan 'membimbangkan' beberapa akaun wartawan daripada platform tersebut.

"Berita mengenai perggantungan sewenang-wenangnya akaun wartawan di Twitter amat membimbangkan. Akta Perkhidmatan Digital (DSA) EU memerlukan penghormatan terhadap kebebasan media dan hak asasi manusia. Ini diperkukuhkan dengan Akta Kebebasan Media (MFA) kami.

"Elon Musk harus sedar mengenainya. Terdapat garis merah dan sekatan tidak lama lagi," kata Pesuruhanjaya EU, Vera Jourova menerusi ciapan di Twitter.

Amaran Jourova disokong dua undang-undang EU, satu daripadanya belum diterima pakai lagi.

DSA meletakkan syarat bahawa syarikat yang menyediakan perkhidmatan kepada pengguna web Eropah perlu memenuhi piawaian ketat terhadap algoritma manipulatif, maklumat salah dan lain-lain.

Syarat itu berkuatkuasa pada 16 November lalu, namun tidak terpakai sepenuhnya di 27 negara EU sehingga Mac depan dan Twitter tidak terkecuali daripadanya.

MFA telah dicadangkan oleh Suruhanjaya Eropah tetapi belum dijadikan undang-undang.

Ia bertujuan melidungi pluralisme dan kebebasan media dalam dunia semakin digital selain memastikan saluran media tidak berada di bawah tekanan dan kekal bebas dari segi editorial.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, beberapa akaun Twitter wartawan yang membuat liputan mengenai Musk digantung, beberapa hari selepas satu akaun yang menjejaki keberadaan jet peribadi Musk.

Antara akaun yang digantung ialah Ryan Mac dari The New York Times, Donie O'Sullivan dari CNN, Matt Binder dari Mashable, Drew Harwell dari The Washington Post, pakar politik Keith Olbermann dan Steve Herman dari Voice of America yang dibiayai kerajaan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa). - AFP