Melaka FC bawa imej, entiti lebih padu di Liga M3

Ridzuan Ahmad
Ridzuan Ahmad
A
A
A

KELAB Melaka FC bakal tampil dengan imej dan entiti pasukan baharu yang kini dalam proses pembentukan barisan pemain dan staf kejurulatihan dalam menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka FC, Ridzuan Ahmad berkata, pasukan itu telah didaftarkan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk saingan Liga M3 musim depan.

Beliau juga menjelaskan skuad Melaka FC itu merupakan satu entiti baharu dan tidak ada kena mengena langsung dengan kelab bola sepak Melaka United yang terpalit dengan pelbagai isu dan kontroversi sebelum ini.

Katanya, sesi latihan akan bermula Isnin ini dengan 60 pemain termasuk bekas pemain Melaka dipanggil untuk sesi pemilihan dan senarai barisan pemain muktamad akan diumumkan Januari depan.

“Peruntukan anggaran bajet musim Liga M3 tahun depan adalah sekitar RM2 juta termasuk pembayaran gaji pemain dan staf kejurulatihan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Tambahnya, pihaknya juga mendapat kerjasama penaja untuk menandatangani ketua jurulatih dari Eropah dengan sasaran utama merealisasikan misi membawa Melaka kembali ke saingan Liga Super pada musim 2024.

Sarawak United FC dan Melaka United sebelum ini gagal memperoleh lesen kebangsaan untuk musim depan kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022 sekali gus tidak layak untuk bertanding di pentas Liga Super 2023.

Artikel Berkaitan: