UMP di kedudukan 103 terbaik dunia

UMP berada pada kedudukan 103 terbaik dunia dalam penarafan UI Greenmetric World University Rankings 2022. Gambar kecil: Yuserrie
UMP berada pada kedudukan 103 terbaik dunia dalam penarafan UI Greenmetric World University Rankings 2022. Gambar kecil: Yuserrie
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berada pada kedudukan 103 terbaik dunia dalam penarafan UI Greenmetric World University Rankings (GWUR) 2022 berbanding di tangga ke-128 tahun lalu.

Penilaian itu dibuat berdasarkan kepada usaha kelestarian alam sekitar membabitkan enam skop utama iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan.

Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin berkata, berdasarkan hasil penilaian itu, UMP mencapai markah 8,200 secara keseluruhannya tahun ini.

Menurutnya, ia sekali gus meletakkan UMP pada kedudukan ke-5 terbaik di Malaysia dan pertama dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) di negara ini.

"Keputusan penarafan itu telah diumumkan di Universitas Indonesia, Jakarta secara dalam talian pada 12 Disember lalu.

"Pencapaian ini bukti komitmen berterusan pihak universiti terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Yuserrie berkata, UMP turut berada pada kedudukan ke-35 terbaik dunia melibatkan elemen pendidikan.

“Pelbagai inisiatif dirancang bagi menyokong aktiviti memelihara sumber dan mempertingkatkan kualiti persekitaran.

Artikel Berkaitan:

"Ia seiring dengan hasrat pihak Lembaga Pengarah UMP ke arah kampus lestari dan inisiatif khusus dirancang bagi menghasilkan sebuah ekosistem hijau yang kondusif,” katanya.

Tambah beliau, turut diberi perhatian elemen pelaksanaan kampus hijau, program pelepasan gas rumah hijau, nisbah jejak karbon ke atas jumlah warga kampus, nisbah penggunaan elektrik ke atas jumlah warga kampus, bajet universiti untuk usaha kemapanan, kawasan kampus yang diliputi hutan, program kitar semula dan lain-lain lagi.

Jelasnya, penubuhan Jawatankuasa Kelestarian Kampus Universiti salah satu usaha bagi merealisasikan hasrat UMP sebagai kampus lestari dengan mempromosikan amalan mesra alam dalam universiti yang merupakan sinergi antara amalan mesra alam dan pendidikan.

"Konsep ini juga akan membuka peluang kepada warga kampus bagi memupuk budaya persekitaran lestari seiring dengan keperluan era Revolusi Industri 4.0.

"Selain itu, UMP juga bakal melaksanakan transformasi digital ke arah kampus pintar untuk kekal relevan dengan keperluan dan jangkaan semasa pihak berkepentingan berdasarkan sumber dan kepakaran yang ada dalam bidang Data Raya, Internet Untuk Segalanya (IOT), Kampus Hijau dan pendigitalan," jelasnya.

Menurutnya lagi, pelbagai inisiatif khusus dilaksanakan universiti itu bagi menghasilkan sebuah ekosistem hijau yang kondusif seiring hasrat negara ke arah Malaysia Lestari 2030 dan negara neutral karbon menjelang tahun 2050.