Ops Terjah periksa masalah bekalan, harga barangan asas

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan pemeriksaan berkaitan masalah bekalan dan isu harga barangan asas yang dihadapi rakyat ketika ini dalam tempoh sebulan di seluruh negara menerusi Ops Terjah.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Ops Terjah antara lain memeriksa dan memantau masalah tersebut di premis seperti pasar awam, pasar mini, kedai runcit, gerai penjaja kecil dan kedai makan.

Beliau berkata, pelaksanaan Ops Terjah juga untuk mengenal pasti zon atau kawasan yang terjejas dengan bekalan dan harga mengikut tahap keseriusannya serta mencari punca utama terhadap isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas yang melanda di negara ini.

"Melalui dapatan daripada Ops Terjah ini, kerajaan akan pastikan rangka kerja untuk tindakan segera dihasilkan. KPDN juga sedang menyediakan pelan strategik jangka pendek dan sederhana berdasarkan maklumat yang kami terima.



"Ini amat penting untuk memastikan kestabilan bekalan barangan asas memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi,” katanya pada sidang media Pelancaran Ops Terjah KPDN selepas membuat tinjauan dan pemeriksaan premis di sekitar kawasan Chow Kit pada Jumaat.

Salahuddin berkata, Ops Terjah itu melibatkan 2,200 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara yang akan melaporkan situasi sebenar kedudukan bekalan dan harga barangan asas.

Beliau berkata KPDN juga akan mempertingkatkan keberadaan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan pengguna termasuk menggunakan Van Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna (STAR) serta kereta peronda bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang beretika.

Beliau juga berkata kementerian juga akan mengoptimumkan pengoperasian Bilik Gerakan KPDN bagi memastikan kepentingan dan aduan pengguna dapat ditangani segera.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; Portal Aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; Pusat Panggilan 1-800-886-800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; dan Ez ADU KPDN. - Bernama

Artikel Berkaitan: