Habib Shah Firdaus diberi tempoh lantik peguam

Habib Shah Firdaus diiringi penguat kuasa JHEAINS Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban pada Jumaat.
Habib Shah Firdaus diiringi penguat kuasa JHEAINS Mahkamah Tinggi Syariah di Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menangguhkan pendakwaan terhadap pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 59, yang disyaki melakukan perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.

Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin membuat keputusan itu selepas pengusaha tempe berkenaan meminta tempoh seminggu untuk melantik peguam.

"Pertuduhan hanya akan dibacakan apabila Habib Shah melantik peguam," katanya.

Sebelum itu Habib Shah Firdaus yang memakai baju berwarna merah dan berkopiah kelihatan kurang faham berkenaan soal pelantikan peguam dan terpaksa ditanya beberapa kali oleh jurubahasa.

Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan turut memberitahu mahkamah berkenaan ketidakfahaman Habib Shah itu.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin beragama Islam yang bermastautin di Negeri Sembilan dan sebutan semula kes 21 Februari depan.

Prosiding pada Jumaat sepatutnya meneruskan pertuduhan ke atas Habib Shah Firdaus mengikut Seksyen 50(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 selepas dia ditahan jam 10 malam pada Khamis di rumah sewanya di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak.

Dia telah diburu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan(JHEAINS) sejak beberapa bulan lalu selepas pusat pengamalan tarekatnya yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu diarahkan tutup.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu turut dilaporkan Sinar Harian sebelum ini dan penutupan itu dibuat susulan jabatan berkenaan menerima aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

Habib Shah Firdaus didakwa melakukan perbuatan atau amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, Habib Shah Firdaus dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak apabila mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah lalu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat dipercayai separuh daripada 300 pengikut Habib Shah Firdaus yang berada di Arab Saudi sejak Mac lalu sudah pulang ke Malaysia selepas mendapati tiada apa-apa berlaku pada hari Arafah.

Sementara itu menurut sumber, pemimpin Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah itu berjaya ditahan dalam satu serbuan di Kampung Desa Mukmin, Gombak, Selangor di sini pada Khamis.

Katanya, ketika ditahan, Habib Shah Firdaus yang berbaju Melayu dan berkain pelekat kelihatan tenang dan memberi kerjasama sementara sepasukan polis membuat pemeriksaan di kediaman berkenaan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) kampung, Efendi Sumardy, 72, berkata, Habib Shah berpindah ke rumah berkenaan kira-kira seminggu lalu dan tidak pernah bergaul dengan penduduk kampung.

"Malah kami juga tidak pernah bertemu dengannya kerana dia juga tidak memaklumkan kepada penduduk dia berpindah ke sini.

"Kami hanya melihat ada kereta Mercedes Benz di luar rumah manakala mereka tidak kelihatan kerana pintu dan tingkap jarang dibuka," katanya.