Pusat tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah ditutup

Pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah diarahkan tutup.
Pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah diarahkan tutup.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah di Labu di sini diarahkan tutup susulan terdapat aduan mengenai perbuatan atau perkara yang bercanggah dengan hukum syarak.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, penutupan pusat itu dibuat agar siasatan lanjut dapat dilakukan sebelum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan membuat keputusan sama ada membatalkan atau tidak pendaftaran tarekat tersebut.

Menurutnya, aduan itu diterima oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan pada awal bulan lalu.

"Aduan itu memberitahu terdapat suatu bentuk amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h), Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

"Hasil maklumat orang ramai dan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia serta Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah bertindak mengeluarkan notis awal pada 25 Julai lalu berhubung cadangan untuk penutupan pusat pengamalan tarekat tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Yusof berkata, pihak terbabit diminta untuk memberi jawapan dalam tempoh tujuh hari selepas notis tersebut dikeluarkan di bawah peruntukan sub-seksyen 18(1) Enakmen Tariqat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005.

Bagaimanapun katanya, tiada jawapan diterima dan pada Rabu, satu notis penutupan pusat pengamalan berkenaan telah dikeluarkan bagi tempoh enam bulan.

"Sekiranya pihak berkenaan melanggar arahan ini dan didapati menjalankan aktiviti di pusat tersebut, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM3,000 atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang berlaku dilihat adalah kesalahan yang dibuat oleh individu yang memimpin tarekat tersebut, sama ada pengamal atau amalannya mengikut hukum syarak dan disiplin ilmu tarekat dan tasauwuf atau tidak. Sebagaimana yang diketahui, Tarekat al-Naqsyabandiah al-Khalidiyyah merupakan satu daripada tarekat yang muktabar di dunia," katanya.

Sementara itu katanya, tarekat berkenaan telah berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 pada 13 Ogos 2018 dengan No. Pendaftaran: JMKNNS.BTT.070-2/1 ( 30 ) dan berpusat di Lot 3263, Jalan Labu, Batu 8, Kampung Jawa, 71900 Labu, Seremban.

Jelasnya, tindakan penutupan itu adalah tindakan proaktif yang diambil bagi menyekat kesalahan dalam tarekat dan pelanggaran apa-apa syarat yang telah ditetapkan.

"Selain itu, dengan adanya Enakmen Tarekat Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 ini, tarekat yang beramal di Negeri Sembilan dapat dikawal dan dipantau serta sekiranya ada kesalahan yang dilakukan tindakan secara undang-undang boleh dikenakan," katanya.