Tanah runtuh: Tapak perkhemahan beroperasi secara haram

Kor Ming semasa sidang akhbar selepas melakukan tinjauan kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini pada Jumaat.
Kor Ming semasa sidang akhbar selepas melakukan tinjauan kejadian tanah runtuh di Father Organic Farm, Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Pengusaha tapak perkhemahan yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, di sini tidak memperoleh lesen kebenaran sebagai tapak aktiviti perkhemahan.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tiada sebarang lesen diluluskan oleh Majlis Perbadanan Hulu Selangor kepada pengusaha terbabit.

"Ini adalah satu kesalahan di bawah Akta Jalan Saliran dan Bangunan 1974 (133) dan sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM50,000," katanya pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan di lokasi kejadian.



Kor Ming berkata, pengusaha terbabit hanya memperoleh kelulusan menduduki (KM) hanya bagi tujuan tanaman sayuran organik.

Bagaimanapun, jelas beliau, sebarang aktiviti perkhemahan tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya menasihatkan pengusaha yang ingin menjalankan aktiviti perkhemahan di kawasan berisiko perlu dan wajar mendapat nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geo Sains Malaysia," jelas beliau.

Sehubungan itu, tegas beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang telah ditetapkan.

Katanya, semua PBT diarahkan untuk memastikan sebarang aktiviti berisiko sama ada di lereng bukit, air terjun dan tapak perkhemahan berisiko dikosongkan selama tujuh hari di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan akan pantau keadaan cuaca dan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk mendapatkan ramalan tepat," katanya.