ZPP terima pensijilan ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti

Amran (kiri) menerima Pensijilan ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 dari pihak Platinum Shauffmantz Veritas Sdn Bhd
Amran (kiri) menerima Pensijilan ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 dari pihak Platinum Shauffmantz Veritas Sdn Bhd
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menerima pengiktirafan antarabangsa melalui pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah MS 1900:2014.

Pengiktirafan yang diterima ini bagi tujuan mempertingkatkan daya saing dan mengukuhkan tadbir urus ZPP.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Amran Hazali berkata, penganugerahan Sijil MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 itu dilihat memberi pengiktirafan kepada ZPP dalam usaha membuktikan kebolehan dan keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelanggan serta perundangan secara konsisten sebagai sebuah institusi zakat di Pulau Pinang.

Menurutnya, membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan kualiti dalam persekitaran yang semakin dinamik dan kompleks merupakan satu keputusan strategik bagi ZPP kerana ia merupakan salah satu kaedah yang telah terbukti dapat membantu meningkatkan prestasi secara menyeluruh.

"Pensijilan ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 adalah satu standard yang menggariskan asas-asas utama bagi mewujudkan dan melaksanakan Sistem Pengurusan Kualiti yang berkesan dan menepati tujuan penubuhan.

"Melalui pelaksanaan sistem pengurusan kualiti, organisasi dapat mengenalpasti peluang penambahbaikan dan keperluan sumber dalam penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan melalui pemantauan dan penilaian dan dilaksanakan secara berkala.

"Selain itu, pelaksanaan sistem pengurusan kualiti memberi pendedahan tentang pengurusan risiko dengan mengenalpasti, menilai dan menangani risiko di dalam organisasi,"katanya ketika berucap pada Majlis Malam Anugerah Sijil MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 di sini, pada Khamis.

Hadir sama Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Artikel Berkaitan:

Amran berkata, ZPP sebelum ini telah diaudit oleh Pihak Platinum Shauffmantz Veritas Sdn Bhd pada 1 hingga 4 November 2022 yang lalu.

Jelasnya, keputusan pengauditan selama empat hari telah melayakkan Zakat Pulau Pinang untuk mendapatkan pengiktirafan ISO 9001:2015 & MS 1900:2014 dengan sifar ketidakpatuhan.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin memuji Inisiatif ZPP untuk mendapatkan Pensijilan dalam Sistem Pengurusan Kualiti yang diiktiraf badan antarabangsa itu.

Beliau berkata, hal ini sangat penting dalam mewujudkan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti cemerlang, cekap dan berkesan dalam tadbir urus institusi zakat di negeri ini.

"Dapat saya simpulkan di sini bahawa Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah MS 1900:2014 ini boleh dijadikan bukti komitmen dan kebolehan ZPP dalam menyediakan perkhidmatan yang dapat memenuhi kehendak dan pengharapan pengguna selaras dengan perundangan berkaitan.

"Pengiktirafan ini juga bukan sahaja untuk menunjukkan ZPP komited dalam mengekalkan tadbir urus dan memberikan perkhidmatan yang berkualiti, tetapi pensijilan ini juga penting bagi membolehkan ZPP berdiri sama tinggi dengan pusat-pusat zakat negeri lain dalam urusan pentadbiran zakat yang lebih berkualiti," katanya.