Dua lelaki Myanmar ditahan larikan budak 10 tahun

Mohamad Ismail Jamaluddin
Mohamad Ismail Jamaluddin
A
A
A

BACHOK - Dua lelaki warga Myanmar ditahan selepas didakwa melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun pada Rabu.

Suspek yang berusia 17 dan 28 tahun itu berjaya dicekup bersama kanak-kanak tersebut di stesen bas Selising, Pasir Puteh pada jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pada Rabu jam 8.58 pagi pihaknya telah menerima aduan seorang kanak-kanak warga Myanmar dilarikan dua lelaki.

"Berdasarkan keterangan daripada bapa mangsa, pada Selasa jam 7.30 malam dia telah meninggalkan dua anak perempuannya yang berusia 8 dan 10 tahun di rumah beralamat Kampung Pengkalan Cina.

"Sebelum itu, bapa mangsa dikatakan keluar dari rumah untuk ke klinik. Sebaik sahaja tiba di rumah pada jam 10 malam dia mendapati anaknya yang berusia 10 tahun telah hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, dia dimaklumkan oleh seorang lagi anaknya tentang kehadiran dua lelaki yang datang mengambil kakaknya.

Ujarnya, bertindak atas laporan yang diterima pihak polis telah membuat serbuan ke rumah suspek dan mengadakan Op Tutup di sempadan melibatkan kawasan Bachok dan Pasir Puteh.

Mohamad Ismail memberitahu, pada jam 9 malam kedua-dua suspek dan mangsa telah ditemui di stesen bas Selising.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan fizikal didapati tiada apa-apa kecederaan yang dikesan pada tubuh badan mangsa," katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengaku telah mengikut suspek secara sukarela.

Ujarnya lagi, mangsa juga memaklumkan bahawa suspek berusia 17 tahun ialah teman lelakinya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek telah ditahan di lokap Balai Polis Bachok dan direman mulai Khamis.

Katanya, mes disiasat bawah Seksyen 14a Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 & 363 Kanun Keseksaan.