3 maut nahas babitkan tiga kenderaan

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bukit Tebu, Pasir Panjang, Teluk Kemang di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Kamal Mohd Timar berkata kejadian pada 4.14 petang itu melibatkan sebuah bas kilang, sebuah motosikal jenis Yamaha LC dan sebuah kereta jenis Honda Accord.

"Mangsa yang maut melibatkan tiga lelaki dengan dua daripadanya penunggang dan pembonceng motosikal serta pemandu kereta, manakala pemandu bas hanya mengalami cedera ringan.

"Pihak bomba juga mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa yang maut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," kata beliau.

Kamal berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.15 petang dan tiba 20 minit kemudian bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang dan Port Dickson.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun memaklumkan maklumat terperinci hanya akan dimaklumkan kemudian.- Bernama

Artikel Berkaitan: