'Teruslah bersabar duhai rakyat'

PLSB Sungai Golok Fasa 1 di Tersang yang pada peringkat akhir pembinaan. (Gambar kecil: Azami Mohd Nor)
PLSB Sungai Golok Fasa 1 di Tersang yang pada peringkat akhir pembinaan. (Gambar kecil: Azami Mohd Nor)
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan meminta mangsa banjir di negeri ini supaya terus bersabar sementara menunggu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) siap sepenuhnya dijangka pada tahun 2027.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, pada masa sama, kerajaan itu akan berusaha untuk berhubungan baik dengan kerajaan Persekutuan supaya projek tersebut dapat disiapkan lebih awal.

Menurutnya, projek dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan kemudahan yang diperlukan merangkumi teknikal melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

“Kita terpaksa terima kerana proses untuk menyiapkan PLSB ini memakan masa dianggarkan dua tahun bagi setiap fasa.

“Kami cuba sedaya-upaya berhubung dengan kerajaan Persekutuan supaya dapat disegerakan, jadi bersabarlah, itu sahaja yang mampu dikatakan pihak kerajaan ketika ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darul Naim pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini, pencapaian PLSB adalah mengikut jadual ditetapkan iaitu lebih 70 peratus siap bagi PLSB Sungai Golok Fasa 1 yang berada pada peringkat akhir.

Kata Azami, cadangan PLSB tersebut dipercepatkan itu juga akan diutarakan di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika kunjungan hormat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Putrajaya akan datang.

“PLSB Sungai Golok Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2024 manakala PLSB Sungai Golok Fasa 2 pula dalam peringkat perolehan tender yang sekiranya selesai tahun ini, fasa itu dijangka siap pada tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

“Selepas itu, akan ada PLSB Sungai Kelantan Fasa 3 dan kesemua fasa ini perlu siap sepenuhnya untuk mengatasi masalah banjir di Kelantan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan secara ekslusif keluhan penduduk di Rantau Panjang dan Pasir Mas yang terpaksa berpindah tiga kali pada tahun ini.

Mereka turut mendakwa limpahan Sungai Golok yang mengakibatkan banjir itu berlaku lebih cepat dan lebih dalam sehingga semeter berbanding 0.5 meter sebelum PSLB dimulakan.