300 'hotspot' banjir di Terengganu

Md Hilman (empat dari kiri) ketika meninjau keadaan PPS di Kampung Kemat, Hulu Terengganu.
Md Hilman (empat dari kiri) ketika meninjau keadaan PPS di Kampung Kemat, Hulu Terengganu.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Sebanyak 300 kawasan di seluruh negeri Terengganu disenaraikan sebagai lokasi panas atau 'hotspot' berlakunya banjir sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Md Hilman Abd Rashid berkata, ia membabitkan daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun, Marang, Kemaman, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Selain itu menurutnya, sebanyak 37 lokasi terutama melibatkan kawasan rendah dan berhampiran muara sungai turut dikenal pasti berisiko dilimpahi air sekiranya berlaku fenomena air pasang besar beserta hujan lebat.

"Dalam keadaan sekarang, semua balai dan anggota bomba sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan rondaan rutin dilakukan dari semasa ke semasa.

"Setakat ini, kekuatan seramai 833 anggota bomba bersama aset dan logistik untuk operasi pemindahan yang kita ada sudah memadai," katanya ketika meninjau keadaan pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Kemat, di sini pada malam Rabu.

Sehingga jam 8 pagi Khamis, dua PPS dibuka di Hulu Terengganu bermula petang Rabu bagi menempatkan 61 mangsa dari 13 keluarga dari sekitar Kampung Kemat dan Tapah yang terjejas banjir.

Md Hilman berkata, walaupun keadaan air sungai di Hulu Terengganu dilihat semakin menurun namun pihaknya tetap berada dalam bersiap sedia kerana kemungkinan paras air boleh kembali meningkat.

"Kita dapati mangsa banjir kini kejap naik kejap menurun, hujan tidak menentu sekarang. Oleh itu saya nasihati penduduk supaya berpindah ke PPS lebih awal sekiranya berlaku limpahan air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Md Hilman memaklumkan tiga kejadian lemas sudah direkodkan di Terengganu sepanjang musim Monsun Timur Laut tahun ini bermula November lalu.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai mengambil cakna tentang keselamatan ahli keluarga masing-masing bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian ketika musim tengkujuh.

"Bila berlaku banjir, sebarang kemungkinan boleh berlaku, kena ambil perhatian betul-betul walaupun kita pandai berenang. Jangan biarkan anak bermain air keseorangan, pastikan mereka diperhatikan setiap masa," katanya.