[VIDEO] Hujan lebat lebih 5 jam, Taman Desaru Utama dilanda banjir

Fizwan (dua dari kiri) meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar pada Rabu. (Gambar kanan : Nazrul)
Fizwan (dua dari kiri) meninjau keadaan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar pada Rabu. (Gambar kanan : Nazrul)
A
A
A

KOTA TINGGI - Hujan lebat berterusan pada awal pagi, mengakibatkan Taman Desaru Utama, Bandar Penawar di sini dilanda banjir kilat pada Rabu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Fizwan Mohd Rashidi berkata, kawasan perumahan tersebut tidak disenaraikan sebagai 'hot spot' banjir.

Katanya, banjir pada kira-kira jam 5.30 pagi itu berlaku susulan hujan lebat lebih lima jam.

"Hujan lebat menyebabkan, Sungai Cemaran yang terletak hanya kira-kira 200 meter dari rumah penduduk melimpah dan menyebabkan kejadian banjir berlaku.

"Pertambahan air yang berlaku akibat hujan mengakibatkan saliran perparitan tidak dapat menampung sekali gus mengundang kepada kejadian banjir.

"Banjir terjadi dipercayai berikutan saliran laluan perparitan dari taman itu ke Sungai Cemaran tidak cukup besar mengakibatkan ia melimpah menenggelamkan rumah penduduk," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.

Beliau turut menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah di Desaru dan Pengerang berjaga-jaga dengan amaran cuaca dikeluarkan selain berpindah sekiranya diminta oleh pihak berkuasa.

Seramai 42 mangsa daripada 11 keluarga dari Taman Desaru Utama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Bandar Penawar yang dibuka pada jam 9.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

Penduduk, Nazrul Noh, 33, berkata, kenaikan paras air banjir begitu mendadak pada jam 6 pagi membuatkan situasi begitu mencemaskan.

Katanya, kedudukan rumah yang hanya terletak 200 meter dari Sungai Cemaran menyebabkan rumahnya dilanda banjir kilat setinggi 0.3 meter.

Keadaan Sungai Cemaran yang terletak berdekatan Taman Desaru Utama.
Keadaan Sungai Cemaran yang terletak berdekatan Taman Desaru Utama.

"Rasa takut juga sebab air laju seperti kepala air. Saya cuma fikirkan keselamatan isteri yang sarat mengandung lapan bulan dan dua orang anak berusia dua dan lima tahun.

"Memang tidak sempat hendak selamatkan barang, cuma dapat capai dokumen penting seperti sijil kelahiran anak. Kami sekeluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan bantuan anggota bomba," katanya.

Nazrul yang merupakan pekerja swasta di Pengerang turut memberitahu kejadian banjir kali ini agak teruk berbanding pada 2019.

"Sebelum ini pernah banjir tetapi keadaannya tidak teruk dan tiada PPS yang dibuka. Kali ini banjir berlaku begitu cepat dan keadaannya mencemaskan.

"Air sudah surut menjelang tengah hari. Namun sebagai langkah berjaga-jaga penduduk dinasihatkan terus tinggal di PPS memandangkan cuaca diramal buruk selain fenomena air pasang," katanya.

Sementara itu, Farah Ain Jefri, 25, tidak menyangka banjir kilat akan berlaku memandangkan dia dan suami Mohd Akramzaki Yahya, 32, dan anak, Iffad Hayyan empat bulan, baru sahaja berpindah minggu lalu.

Farah Ain bersama suami, Mohd Azramzaki dan bayi berusia empat bulan kini berlindung di PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar selepas rumah mereka dilanda banjir.
Farah Ain bersama suami, Mohd Azramzaki dan bayi berusia empat bulan kini berlindung di PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar selepas rumah mereka dilanda banjir.

"Penat mengemas rumah kerana pindah ke rumah baru tidak hilang lagi, saya dan suami diuji dengan kejadian banjir yang berlaku.

"Jiran ketuk pintu rumah pada jam 5.30 pagi beritahu banjir. Saya segera capai dokumen penting dan ambil pakaian anak. Suami pula alihkan kereta ke tempat yang selamat," katanya.