Ditukar jika tidak capai KPI - Sulaiman

Sulaiman ketika berucap pada sesi penggulungan sempena perbahasan usul bajet negeri Melaka 2023 Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.
Sulaiman ketika berucap pada sesi penggulungan sempena perbahasan usul bajet negeri Melaka 2023 Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Ketua jabatan dan penjawat awam di Melaka yang tidak mencapai petunjuk prestasi utama (KPl) akan berdepan tindakan ditukarkan ke tempat lain bermula pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, KPI itu penting memandangkan beberapa aduan yang diterima sebelum ini termasuk terdapat wakil agensi berkaitan tidak pernah menghadirkan diri dalam mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, sikap negatif itu menyebabkan permasalahan yang dihadapi rakyat tidak dapat diselesaikan dengan mekanisme terbaik.

"Saya terima beberapa aduan bila kita bermesyuarat di peringkat Japerun, ketua-ketua atau wakil (jabatan) tidak hadir malah keadaan itu setahun lebih berlalu.

"Tidak sekali pun agensi berkenaan hadir, saya tidak akan toleransi. Pada yang tidak berminat bekerja di Melaka dipersilakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan sempena perbahasan usul bajet negeri Melaka 2023 Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Dewan Undangan Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.

Sulaiman bagaimanapun berkata, keputusan itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) supaya ia dapat dimuktamadkan.

"Tolong berikan perhatian, saya tidak mahu perkara ini berulang lagi.

"Jadi saya beri amaran dalam dewan ini saya akan ambil tindakan, siapa tidak berminat kerja di Melaka, dipersilakan," katanya.

Artikel Berkaitan: