Haqiem Stopa didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

Haqiem Stopa hadir sebagai penceramah di sebuah program motivasi di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Haqiem Stopa hadir sebagai penceramah di sebuah program motivasi di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

SELAYANG – Haqiem Stopa yang terkenal dengan jolokan ‘ikon permotoran’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas satu tuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya, lima hari lalu.

Haqiem Stopa atau nama sebenar Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan didakwa di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan itu terhadap seorang wanita berusia 21 tahun, dalam simpanan galeri dua telefon bimbit miliknya, di sebuah rumah di Rawang di sini pada jam 4.30 petang, 9 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Kesesksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak merayu agar ikat jamin itu ditetapkan pada kadar rendah dengan alasan, Haqiem Stopa hanya bekerja sebagai pencipta kandungan dalam aplikasi media massa dan perlu menjaga ibu bapa yang uzur.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Nur Hafizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Februari tahun depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki ditahan pada Jumaat kerana disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya.

Artikel Berkaitan:

Dia yang mempunyai sejuta pengikut di aplikasi TikTok bawah nama ‘haqiemstopa’ ditahan selepas menerima laporan daripada pihak mangsa.