'Kami hilang pendapatan'

Noraini membantu mencucuk insulin di lengan Rozaimi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong pada Rabu.
Noraini membantu mencucuk insulin di lengan Rozaimi ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyakit kencing manis, buah pinggang dan saraf yang dihidapi menyebabkan seorang bekas pekerja sebuah syarikat pencucian kini hanya terlantar dan memerlukan perhatian sepenuhnya daripada isteri.

Lebih menyedihkan, Rozaimi Ramli, 43, ditamatkan kontrak sejak tiga tahun lalu kerana terlalu kerap mengambil cuti sakit dan tidak mampu melakukan kerja berat.

Isterinya, Noraini Othman, 40, berkata, penyakit buah pinggang tahap dua yang didiagnos pada Julai kesan daripada penyakit kencing manis yang dialami sejak 12 tahun lalu.

Justeru katanya, Rozaimi kini tidak boleh duduk lama dan menghadapi pelbagai komplikasi lain sehingga menyebabkan kesihatannya merosot.

"Suami saya juga terpaksa menjalani pembedahan di bahagian celah paha untuk mengeluarkan ketumbuhan bersaiz tujuh sentimeter (cm) pada 5 November lalu.

"Doktor memaklumkan ketumbuhan itu kesan daripada penyakit kencing manis yang dihidapi," katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Kampung Bunut Payong di sini pada Rabu.

Noraini yang sebelum ini bekerja sebagai tukang mewarna batik tidak jauh dari rumah mereka terpaksa berhenti kerja buat sementara waktu kerana perlu memberi perhatian kepada suaminya.

"Kami hilang punca pendapatan dan terpaksa berjimat dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 buat sementara waktu.

Artikel Berkaitan:

"Mujur ada adik-beradik yang menghulurkan bantuan untuk membeli keperluan suami seperti pelapik kalis air, peralatan mencuci luka dan ubat- ubatan," katanya.

Menurut Noraini, Rozaimi turut disyorkan minum susu khas dan kesemua keperluan suaminya mencecah kira-kira RM1,000 sebulan termasuk kos ulang-alik mencuci luka setiap hari di Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh atau Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak lelaki, Aieril Rizki Rozaimi, 10, yang turut membantu meringankan beban ketika di rumah terutama ketika mencuci luka.

"Saya sangat bersimpati dengan nasib suami tetapi kami hanya mampu berdoa supaya dia cepat sembuh," katanya.

Orang ramai yang mahu meringankan beban pasangan ini boleh menghubungi Noraini di talian 0167547889 atau menyalurkan bantuan ke nombor akaun Bank Simpanan Nasional 0301041000104067 atas nama Rozaimi Ramli.