[VIDEO] Tarif elektrik tidak dinaikkan - PM

Anwar (kanan) bercakap kepada pemberita semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra. -Foto Bernama
Anwar (kanan) bercakap kepada pemberita semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan tarif elektrik bagi pengguna domestik dan industri kecil dan sederhana (IKS).

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi elektrik yang dinikmati oleh syarikat gergasi seperti syarikat multinasional akan disemak semula.

"Jika dikenakan pun akan kepada syarikat multinasional yang eksport kerana tarif terlalu rendah buat mereka, dan subsidi itu tidak harus diberikan kepada syarikat gergasi yang untungnya tinggi,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet, di sini pada Rabu.

Menurutnya, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan perkara tersebut.

"Berdasarkan laporan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) semalam, kita memutuskan supaya cadangan awal untuk naikkan tarif elektrik itu tidak diteruskan.

"Kita akui ia akan membebankan rakyat, walaupun kita akui jika tidak ada apa apa dilakukan, ia akan memberi kesan kepada kewangan negara agak tinggi, iaitu RM30 bilion," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat NACCOL pada Isnin mengambil maklum mengenai keperluan untuk menaikkan tarif tersebut selepas mengambil kira beban kewangan kerajaan yang meningkat.

“Tetapi keputusan jelas, kita tidak akan membebankan rakyat. Jadi, keputusan kita ialah tidak menaikkan tarif elektrik, kecuali untuk mereka yang benar-benar kaya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, pemberian subsidi dilihat tidak dilakukan dengan telus, sebaliknya dilihat hanya memberi keuntungan kepada golongan kaya.

"Maka saya berpandangan kita akan meningkatkan tarif secara berfasa untuk syarikat multinasional,” ujarnya.

Selain itu, mesyuarat NACCOL turut menyentuh mengenai kekurangan bekalan barangan tertentu di pasaran, termasuk dari aspek struktur dan unjuran bekalan tersebut.

“Jadi, saya mencadangkan agar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memberi laporan penuh berserta langkah yang dirasakan perlu untuk menangani masalah ini.

“Anda pun sedia maklum tahun lepas tentang masalah yang melanda golongan pekebun di Cameron Highlands yang terpaksa melupuskan produk pertanian mereka kerana tiada pembeli dan masalah pengangkutan.

Jadi saya minta FAMA lebih proaktif,” katanya.