Jangan buang sisa makan, minyak ke singki atau longkang

A
A
A

Sisa minyak dan lemak yang terkumpul di dalam lurang kumbahan.
Sisa minyak dan lemak yang terkumpul di dalam lurang kumbahan.

PERNAHKAH kita terfikir kesan amalan seharian kita terhadap alam sekitar? Mungkin ada yang menganggap perbuatan kita setiap hari di rumah adalah sesuatu yang remeh atau tidak penting, namun hakikatnya ia mungkin boleh memberi kesan besar kepada persekitaran kita.

Contoh paling mudah yang dapat dilihat adalah berkaitan tabiat atau kebiasaan kita di dapur apabila ramai yang membuang lemak, minyak dan gris (LMG).

LMG juga dikenali Fat, Oil & Grease (FOG) adalah air kumbahan bukan najis atau grey water yang terhasil daripada kegiatan memasak seperti sisa makanan, lemak daging, lemak binatang, minyak masak, mentega, marjerin, sos, kuah, makanan bergoreng, keju dan sebagainya.

Kita membuang sisa LMG sama ada secara sengaja atau tidak sengaja ke singki yang mengalir masuk ke paip sanitari seterusnya memasuki paip pembetungan atau ada yang menyalurkan terus ke longkang.

Sisa buangan LMG ini merupakan antara cabaran utama bagi sistem pembetungan di Malaysia. Bagi kita di rumah, amalan baik yang perlu dilakukan ialah mengasingkan LMG dan tidak terus membuangnya ke dalam singki.

Pengasingan perlu dilakukan dengan meletakkan sisa LMG ini ke dalam bekas berasingan dan dikumpulkan sebelum dibuang dengan cara yang betul.

Artikel Berkaitan:

Minyak masak atau lebihan lemak jika dibuang terus ke dalam singki akan menyebabkan saluran kumbahan tersumbat kerana lebihan minyak dan lemak itu akan mengeras dan akan menyumbang kepada masalah sanitasi dan paip pembetungan tersumbat.

Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, amalan pelupusan yang betul haruslah dilakukan setia masa. Kita boleh mencontohi budaya masyarakat negara Jepun yang membersihkan sisa minyak dengan menggunakan kain atau tisu.

Mereka mengasingkan dahulu sisa terebut sebelum dilupuskan. Amalan sebegini boleh menjadikan longkang, parit dan sungai bersih serta tidak berbau, malah dapat mengurangkan bebanan loji rawatan kumbahan dalam merawat sisa LMG.

Bagi air kumbahan bukan najis yang berpunca daripada restoran atau industri, pengusaha di premis berkenaan hendaklah memasang sistem perangkap minyak atau grease interceptor yang betul.

Perangkap minyak ini pula perlu diselenggarakan secara berkala oleh pemilik perniagaan makanan dan mendapatkan perkhidmatan menyedut atau membersihkan FOG yang terkumpul dalam sistem perangkap masing-masing.

Bahan LMG akan mengeras

Bongkah seperti batu ini adalah sisa lemak dan minyak yang telah mengeras.
Bongkah seperti batu ini adalah sisa lemak dan minyak yang telah mengeras.



Pengurusan LMG yang baik dapat menyingkirkan risiko pengaliran LMG ke perairan atau paip pembetungan, sekali gus dapat memelihara kelestarian alam sekitar.

Menurut Ketua Unit Perniagaan Nyahenap Cemar Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd, Pauzi Mohamed, apa yang kerap berlaku adalah sikap sesetengah pihak yang mengambil jalan mudah atau tidak endah dengan kepentingan dan keperluan untuk menyelenggara sistem perangkap minyak ini.

“Apabila LMG mengalir atau memasuki ke dalam paip pembetungan, lama kelamaan ia akan mengeras seperti batu dan seterusnya akan menyekat aliran air sisa kumbahan.

“Apabila ini berlaku, pastinya keadaan ini akan menyusahkan orang ramai kerana jika lurang pembetungan tersekat, air kumbahan akan melimpah sehingga menyebabkan kacau ganggu dan mencemarkan alam sekitar kita,” kata Pauzi.

Menurutnya, pengusaha premis makanan tidak hanya sekadar memasang perangkap minyak, tetapi mereka hendaklah menjalankan tanggungjawab untuk menyelenggara dengan membersihkan dan mengosongkan sisa LMG itu secara berjadual.

Ujarnya, mungkin masih ramai yang tidak sedar bahawa IWK ada menyediakan perkhidmatan pembersihan dan pengosongan sisa LMG.

“IWK sentiasa memastikan sisa LMG ini dirawat, diproses dan dilupuskan dengan kaedah yang lebih selamat,” katanya.

LMG telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor yang menyebabkan paip pembetungan tersumbat dan pencemaran air.

LMG adalah sisa yang mampu mengakibatkan paip pembetungan tersumbat dan menyebabkan air sisa melimpah keluar ke permukaan tanah, ke dalam bangunan, perairan dan sungai.

Sebagai syarikat pembetungan nasional yang mementingkan kelestarian alam sekitar, IWK sentiasa memastikan air kumbahan diproses dengan cara betul dan menepati piawaian ditetapkan pihak berkuasa.

Bagi pemilik premis makanan yang ingin mendapatkan perkhidmatan pengosongan sisa LMG daripada IWK, boleh hubungi pejabat operasi IWK atau layari laman sesawang www.iwk.com.my.