Banjir: Jangan terus 'hanyut' berpolitik

Banjir adalah suatu fenomena yang berlaku di Malaysia hampir saban tahun. - Gambar hiasan.
Banjir adalah suatu fenomena yang berlaku di Malaysia hampir saban tahun. - Gambar hiasan.
A
A
A

BANJIR adalah suatu fenomena yang berlaku di Malaysia hampir saban tahun. Risiko serta kesan kerosakan akibat bencana itu mendatangkan kerugian besar kepada penduduk dan negara.

Lebih membimbangkan, mangsa banjir bukan sahaja hilang tempat tinggal dan barangan berharga, malah turut melibatkan nyawa.

Ini yang berlaku pada Disember 2021 dan Januari lalu apabila kita dikejutkan dengan kejadian banjir melibatkan sekurang-kurangnya lapan negeri di Semenanjung. Paling tidak dijangka, banjir besar melanda Pahang dan Selangor sehingga ia digelar sebagai ‘tsunami darat’.

Mengimbas kembali, bencana itu mengorbankan seramai 54 orang dengan Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 25 mangsa, diikuti Pahang (21), Kelantan (4), Sabah (3) dan Negeri Sembilan (1). Jabatan Perangkaan Malaysia pula melaporkan banjir berkenaan mengakibatkan kerugian berjumlah RM6.1 bilion, bersamaan 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021, aset awam dan infrastruktur mengalami kerugian tertinggi iaitu RM2 bilion, diikuti tempat kediaman (RM1.6 bilion) dan kenderaan (RM1 bilion).

Sektor pembuatan pula mengalami kerugian RM0.9 bilion, premis perniagaan (RM0.5 bilion) manakala pertanian (RM90.6 juta).

Apa yang membimbangkan ialah bencana berkenaan mungkin berulang pada musim tengkujuh kini. Kebimbangan tersebut disuarakan Pakar Meteorologi Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah.

Ujar beliau, banjir besar berkemungkinan boleh berlaku dalam tempoh beberapa hari ini susulan fenomena luruan monsun dan dirangsang oleh fenomena La Nina dan perubahan sistem iklim Lautan Hindi.

Malangnya, segelintir ahli politik sama ada yang menang atau kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu masih lagi ‘hanyut’ berpolitik seolah-olah tidak kisah masalah yang sedang membelenggu rakyat Malaysia pada ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Selamilah masalah rakyat. Bagi yang pernah dan sedang menghadapi banjir, mereka hadapi trauma. Meskipun hanya hujan renyai, mereka tetap beranggapan rumah mereka akan dinaiki air bila-bila masa, lebih-lebih lagi di lokasi panas atau hotspot seperti Shah Alam, Selangor dan Bentong, Pahang.

Ada juga mangsa yang mengadu sudah penat menghadapi bencana itu setiap kali hujung tahun. Mereka perlu sentiasa siap sedia, bahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara sesuatu yang amat menyusahkan.

Menambah kegusaran penduduk apabila terperangkap dalam fenomena banjir termenung atau air tidak surut-surut walaupun hujan telah lama berhenti.

Kejadian banjir termenung selama seminggu pernah berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 17 Disember 2021. Kira-kira 2,000 penduduk di situ terperangkap akibat kawasan mereka ditenggelami air sedalam empat meter.

Penduduk Sungai Belukang di Bagan Datuk, Perak pula mengalami banjir termenung selama hampir dua bulan sehinggakan halaman rumah mereka dipenuhi tumbuhan kiambang.

Banjir termenung ini berlaku kebanyakannya disebabkan sistem perparitan tidak sempurna. Jadi, sejauh mana kerajaan merancang untuk menyelesaikan masalah banjir termenung yang berlaku setiap setahun, malah kadangkala setiap tiga bulan sekali bergantung taburan hujan di kawasan tertentu.

Hari ini, banjir sudah berlaku di beberapa negeri termasuk Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor. Korban pertama banjir dilaporkan pada Isnin melibatkan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun apabila terjatuh ke dalam tali air di Kampung Kebor Besar, Kuala Terengganu.

Dengan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramalkan terus berlaku hingga 21 Disember ini, penduduk di kawasan berkenaan haruslah bersiap sedia untuk berpindah.

Kerajaan baru-baru ini mengeluarkan senarai 5,496 kawasan di seluruh negara sebagai lokasi hotspot banjir. Jumlah tertinggi di Semenanjung ialah di Pahang dengan 763 kawasan, diikuti Johor (432), Kedah (373), Negeri Sembilan (369), Selangor (339), Terengganu (300), Perak (265), Pulau Pinang (229), Melaka (157), Perlis (54) dan Kuala Lumpur (48).

Sudah tiba masanya pemimpin dan ahli politik mula bekerja membantu rakyat menghadapi musibah banjir ini.

Jangan lagi kedengaran tuding-menuding menyalahkan satu sama lain terutama apabila bantuan lambat sampai kepada mangsa.

* Nilam Nur Atikah Oshman ialah wartawan Sinar Harian