Taman Eko Rimba Bukit Wang jadi tumpuan walaupun ditutup

Orang ramai sedang beriadah sambil mandi manda di Taman Eko Rimba Bukit Wang pada Selasa. Notis penutupan sementara yang digantung JPNK di pintu masuk Taman Eko Rimba Bukit Wang di sini.
Orang ramai sedang beriadah sambil mandi manda di Taman Eko Rimba Bukit Wang pada Selasa. Notis penutupan sementara yang digantung JPNK di pintu masuk Taman Eko Rimba Bukit Wang di sini.
A
A
A

KUBANG PASU - Walaupun Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sudah menggantung notis penutupan sementara Taman Eko Rimba Bukit Wang di Jitra di sini, namun lokasi terbabit tetap menjadi tumpuan orang ramai ketika musim cuti sekolah.

Tinjauan Sinar Harian pada Selasa mendapati, orang ramai mengambil peluang berkelah dan mandi manda di kawasan terbabit bersama keluarga.

Cuaca yang panas dan cerah mungkin menjadi faktor pengunjung berani mengunjungi kawasan terbabit yang merupakan salah satu lokasi kerap berlaku kepala air di negeri ini.

Seorang penduduk setempat, Mohd Nasyarudin Md Zain, 25, berkata, kawasan itu yang terletak berdekatan rumahnya sering menjadi tumpuan pengunjung ketika hujung minggu atau cuti sekolah.

"Di Bukit Wang ini memang selalu terjadi kepala air, sebab itu kalau hari hujan tak ada orang masuk mandi di sini, kalau cuaca cerah dan air elok macam hari ini, ramai la datang.

"Semalam hujan sekejap rintik-rintik tapi kita tengok tak ada risiko kepala air, jadi ramai la yang berani masuk untuk berkelah hari ini," katanya ketika ditemui bersama sekumpulan rakan-rakan lain pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhd Hassan Bukhari, 16, berkata, dia dan rakan-rakan akan berkunjung ke kawasan itu pada cuaca panas sahaja.

Artikel Berkaitan:

Taman Eko Rimba Bukit Wang antara lokasi yang ditutup oleh JPNK ketika musim tengkujuh.
Taman Eko Rimba Bukit Wang antara lokasi yang ditutup oleh JPNK ketika musim tengkujuh.

" Kalau dalam perjalanan tiba-tiba hujan, kami berpatah balik tak berani juga ambil risiko sebab kita tahu sebelum ini pun ada kes pengunjung terperangkap di sini sebab kepala air," katanya.

Seorang pengunjung dari Kuala Nerang yang enggan dikenali berkata, dia dibawa oleh anak-anak untuk berkelah di situ sempena cuti sekolah.

"Anak- anak ambil cuti balik kampung, jadi kami pun cadang nak berkelah. Mula-mula kami pergi Puncak Janing tapi tutup, tak boleh masuk.

" Jadi terus mai sini, tengok sini ramai pakat masuk mandi, jadi kami pun ikut lah cuma kena parking kereta jauh sikit," jelasnya.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) ketika dihubungi mengesahkan bahawa taman eko rimba terbabit ditutup kepada orang ramai sejak 18 Oktober lalu.

"Mulai dari tarikh berkenaan kita memang menutup semua taman eko rimba dan kawasan pendakian di Kedah disebabkan musim tengkujuh dan risiko kepala air.

"Sebelum ini juga, JPNK sudah memasang pita pelekat dan mengunci pagar di situ tetapi ia dirosakkan oleh pengunjung," katanya.

Tambah JPNK, sekiranya berlaku sesuatu kejadian tidak diingini di kawasan terbabit ia adalah di luar tanggungjawab jabatan kerana notis larangan telah digantung di pintu masuk.

"JPNK tidak dapat melakukan pemantauan setiap masa kerana kekangan anggota tetapi jika kita datang periksa ada pengunjung di situ, kita minta mereka beredar dengan kadar segera," jelasnya.