'Media arus perdana masih berperanan membina negara bangsa'

Johan Jaaffar
Johan Jaaffar
A
A
A

KUALA LUMPUR – Media arus perdana masih memainkan peranan penting dalam membina negara bangsa.

Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, ini kerana kandungan berita media arus perdana masih perlu melalui tapisan dan semakan ketat.

Menurutnya, industri media arus perdana terdiri daripada profesional terlatih dan berlesen.

“Wartawan terikat dengan etika dan undang-undang dalam usaha mereka mendapatkan maklumat yang benar dan disahkan.

“Ia berbeza dengan media sosial yang bukan berita, tetapi media sosial yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja dan semua orang untuk mengatakan apa sahaja yang mereka mahu, sama seperti di kedai kopi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan umum ‘Krisis Media: Di belakang duri, di depan api’ di Auditorium Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya (UM) pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak terpengaruh dengan tawaran media sosial, sebagai betul.

“Maklumat sahih hanya boleh diperoleh daripada akhbar, radio, laman web dan televisyen,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut kepada Sinar Harian, beliau berkata, media sosial adalah platform yang membolehkan apa sahaja disiarkan tanpa kawalan.

“Ia merupakan sumber maklumat ‘mi segera’ yang belum tentu betul.

“Di tangan orang yang salah dan tidak bertanggungjawab ia boleh menjadi senjata pemusnah awam," jelas beliau.

Sementara itu, Johan berkata, sehingga kini tidak ada kerajaan yang boleh mengawal media sosial secara berkesan.

“Pendidikan dan kesedaran tentang penggunaan media sosial harus diberi perhatian segera.

“Literasi media sosial penting didedahkan pada pengguna, jangan guna cara semberono,” tegasnya.