Pesta ria: Keluarga cadang ambil tindakan undang-undang

Faizah (dua dari kanan) bersama anak-anaknya menunjukkan gambar Shahfaraz Aiefan yang mengalami cedera pada mata dan kaki kiri yang sedang dirawat di Hospital Shah Alam pada Selasa.
Faizah (dua dari kanan) bersama anak-anaknya menunjukkan gambar Shahfaraz Aiefan yang mengalami cedera pada mata dan kaki kiri yang sedang dirawat di Hospital Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

PUNCAK ALAM - Keluarga dua beradik yang terjatuh daripada permainan pesta ria (funfair) 'Sotong Ride' berhasrat mengambil tindakan undang-undang.

Dalam kejadian pada malam Isnin itu, Noraziera Zulkiffle, 31, dan adiknya, Shahfaraz Aiefan Zulkiffle, 11, mengalami kecederaan selepas terjatuh daripada permainan berkenaan di Puncak Alam.

Ibunya, Faizah Mat Sam, 52, berkata, keluarga menzahirkan rasa kecewa terhadap penganjur aktiviti pesta ria yang cuai dalam mengendalikan alatan permainan tersebut.

Menurutnya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia membabitkan soal keselamatan dan nyawa bagi pengunjung di pesta ria berkenaan.

"Saya kecewa dengan apa yang berlaku dan kami akan mengambil tindakan perundangan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Kuching, Jeram di sini pada Selasa.

Faizah memberitahu, dua laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Jeram dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada Selasa.

Menurut Faizah, tujuan laporan itu dibuat bagi memberi keadilan kepada dua anaknya yang cedera semasa menggunakan peralatan itu.

"Anak sulung saya (Noraziera) mengalami hentakan kuat di bahagian kepala dan bengkak pada kaki kiri, manakala anak bongsu saya (Shahfaraz Aiefan) cedera di bahagian mata dan kaki kiri," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, pihak keluarga masih berbincang untuk melakukan tindakan seterusnya termasuk melantik peguam.

Jelasnya, kecuaian seperti itu tidak seharusnya berlaku dan berharap tiada lagi mangsa terbabit dalam kejadian ini.

Menurut Faizah, empat anaknya dan seorang menantu berkunjung ke pesta ria itu kira-kira jam 7 malam Isnin.

"Sebenarnya anak-anak saya rancang hendak pergi ke pesta ria itu sejak Sabtu lalu lagi, tapi disebabkan hujan mereka ambil keputusan pergi Isnin.

"Mulanya mereka mengajak saya turut serta, tetapi disebabkan masalah sakit lutut saya ambil keputusan tinggal di rumah sahaja.

"Bagaimanapun, luluh jantung saya apabila mendapat tahu dua anak saya terjatuh daripada tempat permainan itu dan alhamdulillah semuanya selamat," jelasnya.

Keadaan Shahfaraz Aiefan yang mendapat rawatan di Hospital Shah Alam.
Keadaan Shahfaraz Aiefan yang mendapat rawatan di Hospital Shah Alam.

Katanya, dua beradik yang mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam dijangka daftar keluar daripada hospital itu pada petang Selasa.

Adik kepada Noraziera, Nurazliyana, 17, berkata, pada masa kejadian, dia dan seorang lagi adiknya, Nurazriyanie, 15, turut bermain permainan itu berada di tempat duduk belakang kakaknya.

Ujarnya, permainan yang bergerak dan berpusing ke udara itu baru dinaiki mereka tidak sampai satu minit.

"Pada masa itu saya dengar bunyi besi keselamatan tercabut dan dalam sekelip mata saya terkejut apabila ternampak kakak tercampak keluar daripada tempat duduknya.

"Saya terkejut dan sebaik permainan itu dihentikan saya terus menghampiri kedua-dua mereka dan terdengar suara kakak yang menyatakan rasa sakit," jelasnya.

Katanya, kedua-dua beradiknya itu kemudian dibawa menaiki ambulans kira-kira 40 minit selepas kejadian terbabit.

"Air mata saya berlinangan ketika itu dan berdoa agar semuanya dipermudahkan," kata Noraziera.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengesahkan aktiviti hiburan pesta ria di Puncak Alam di sini tidak mendapat kelulusan dan lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Yang Dipertuanya, Rahilah Rahmat berkata, penganjur telah beberapa kali mengemukakan permohonan lesen hiburan, namun didapati ia tidak lengkap.