19 'ulat' ditahan di KLIA, klia2

Zailani ketika sidang akhbar mengenai Ops Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
Zailani ketika sidang akhbar mengenai Ops Ulat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan 19 'ulat' yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen dan beroperasi secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, mereka ditahan dalam Operasi Ulat (Ops Ulat) bermula 4 Disember lepas hingga Isnin dengan 18 daripadanya ditahan di klia2 manakala seorang di KLIA.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, 15 individu didapati menggunakan kenderaan persendirian untuk kegiatan itu, manakala empat yang lain menggunakan kenderaan awam termasuk kereta e-hailing atau teksi.

"Tiga individu yang ditahan didapati mempunyai rekod kesalahan berulang dan kita (JPJ) turut menyita 19 kenderaan bagi membantu siasatan,” katanya ketika sidang akhbar di KLIA di sini pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ‘ulat’ berkenaan bergerak secara berkumpulan atau solo tetapi dipercayai saling bekerjasama antara satu sama lain.

Zailani berkata, kesemua individu berusia antara 20-an hingga 60-an itu disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Zailani, beliau sendiri pernah didekati ‘ulat’ berkenaan di lapangan terbang yang menawarkan khidmat kereta sewa dan menyifatkan kegiatan itu harus dibendung bagi menjamin keselamatan serta hak pengguna.

Beliau berkata, JPJ komited untuk terus memberikan advokasi kepada pengguna berkaitan kegiatan ‘ulat’ menerusi video hebahan yang telah disediakan dengan kerjasama pengendali lapangan terbang.

Katanya, sejak 2015 hingga semalam sebanyak 630 kes ‘ulat’ direkodkan di Selangor dan daripada jumlah itu, 29 individu telah dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan tersebut sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga akan terus menggiatkan operasi membanteras kegiatan 'ulat jaket' yang menawarkan pelbagai pakej percutian murah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sindiket berkenaan yang sentiasa mempamerkan penampilan kemas dengan memakai jaket menyasarkan pelancong dari Timur Tengah untuk dijadikan mangsa dengan meraih pendapatan lumayan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit. - Bernama