Banjir: Ikan selayang RM16 sekilogram jadi rebutan

Zuraida (kanan) tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin mendapatkan ikan selayang di kedainya di Banggol Kulim, Rantau Panjang. (Gambar kecil dari kiri: Yuraida dan Norlida)
Zuraida (kanan) tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin mendapatkan ikan selayang di kedainya di Banggol Kulim, Rantau Panjang. (Gambar kecil dari kiri: Yuraida dan Norlida)
A
A
A

RANTAU PANJANG - Biarpun harganya meningkat dua kali ganda iaitu RM16 sekilogram namun ikan selayang tetap menjadi rebutan dan pilihan utama penduduk di kawasan banjir di sini.

Ikan tersebut akan direbus supaya tahan lebih lama sepanjang musim tengkujuh dan digoreng apabila mahu dimakan.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa buah kedai basah di sini pada Selasa, mendapati ikan selayang antara yang menjadi pilihan penduduk berbanding ikan lain walaupun harganya mahal.

Peniaga di Banggol Kulim, Zuraida Muda, 49, berkata, ikan selayang 20 kilogram (kg) laris dalam beberapa jam sahaja setiap hari.

"Saya jual selayang segar bukan sejuk beku yang diambil dari Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Kota Bharu.

"Sebelum musim tengkujuh harganya sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram sahaja namun cuaca sekarang yang semakin buruk ia mencecah sehingga RM16, namun pelanggan langsung tidak merungut malah berebut mendapatkannya," katanya.

Menurut dia, ini kerana rasa ikan tersebut yang manis apabila direbus sesuai untuk disimpan lama.

Manakala peniaga kedai basah, Yuraida Saleman, 39, berkata, dia mampu menjual ikan selayang sekitar RM13 sekilogram kerana bekalan diambil dari Selatan Thailand.

Artikel Berkaitan:

"Hari biasa saya jual RM9 hingga RM10 sekilogram tetapi disebabkan musim tengkujuh ia meningkat sebanyak RM4.

"Ikan selayang segar ini lebih murah jika dibeli di negara jiran berbanding pasaran tempatan," katanya.

Bagi pengguna, Norlida Mat Arif, 36, ikan selayang rebus merupakan hidangan wajib sepanjang musim tengkujuh.

Ujarnya, ikan yang direbus akan digoreng bersama bawang dan dimakan dengan nasi panas.

"Tentang harga bagi saya ia tidak menjadi masalah kerana musim tengkujuh, lagipun ikan lain tidak sedap jika berbuat demikian," katanya.