Banjir: APM ada kuasa wajibkan penduduk berpindah

Armizan (tengah) menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS SMK Seri Semantan pada Selasa.
Armizan (tengah) menyantuni mangsa banjir yang berada di PPS SMK Seri Semantan pada Selasa.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mempunyai kuasa bagi mewajibkan penduduk yang terjejas dengan banjir untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah,Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, APM mempunyai kuasa tersebut berdasarkan Seksyen 4C (1)Akta Pertahanan Awam Malaysia 1952 (Akta 221).

Menurutnya, keputusan akan dibuat berdasarkan faktor keselamatan mangsa yang terlibat.

"Maksudnya sejak 2016 sudah ada peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa kepada APM untuk mewajibkan penduduk berpindah kerana setakat ini, tahun ini masih terdapat insiden orang awam tidak mematuhi arahan tersebut.

"Tindakan boleh diambil jika terdapat mana-mana pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut, namun pada peringkat ini kita memfokuskan memberikan kesedaran kepada masyarakat terdapat peruntukan undang-undang tersebut dan arahan ini dibuat untuk keselamatan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat lawatan ke PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Aminurrahim Mohamed, Pengarah APM Pahang, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Ali Syahbana Sabaruddin.

Di Pahang, PPS SMK Seri Semantan merekodkan jumlah tertinggi mangsa banjir dengan 339 orang daripada 103 keluarga membabitkan penduduk Kampung Batu Kapor Bawah, Batu Kapor Atas dan Kampung Sungai Buluh sekitar Mentakab.

Artikel Berkaitan:

Armizan (tengah, duduk) ketika mendengar taklimat yang disampaikan Ali Syahbana di PPS SMK Seri Semantan, Mentakab pada Selasa.
Armizan (tengah, duduk) ketika mendengar taklimat yang disampaikan Ali Syahbana di PPS SMK Seri Semantan, Mentakab pada Selasa.

Dalam pada itu, Armizan berkata, bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada awal November lalu, semua negeri yang terkesan setakat ini iaitu Perak, Johor,Kelantan,Terengganu dan Pahang telah dapat menguruskan keadaan dengan baik.

"Saya berharap, momentum ini dapat diteruskan memandangkan negara baru sahaja melalui Luruan Monsun yang pertama," katanya.

Jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan kepada 2,800 mangsa daripada 849 keluarga yang direkodkan berada di 23 PPS setakat jam 12 tengah hari pada Selasa.

Sementara itu, Armizan juga memuji usaha dan langkah kerajaan negeri memperkenalkan teknologi retort untuk mangsa melibatkan nasi dan lauk yang diagihkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).