SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2 akhirnya ada dewan tertutup

Ikmal Hisham memperkatakan sesuatu kepada Nik Muhamad (dua, kiri) selepas perasmian mesyuarat agung PIBG SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2.
Ikmal Hisham memperkatakan sesuatu kepada Nik Muhamad (dua, kiri) selepas perasmian mesyuarat agung PIBG SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2.
A
A
A

TANAH MERAH - Hasrat pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Mahmud Paduka Raja 2, di sini, untuk memiliki dewan tertutup bagi kemudahan pelajar sekolah itu menduduki peperiksaan utama sejak sekian lama akhirnya tercapai.

Pengetuanya, Nik Muhamad Nik Lib berkata, kerja pengubahsuaian bengkel sekolah dan sebuah bilik darjah sebagai dewan tertutup itu akan dilaksanakan segera dan dijangka siap dalam masa dua minggu selepas pihaknya mendapat peruntukan bagi tujuan berkenaan.

Katanya, peruntukan berjumlah RM30,000 itu diluluskan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, malam tadi.

"Bagi kerja ubah suai dewan tertutup ini, kita perlukan RM7,500, manakala sumbangan selebihnya akan digunakan untuk membeli 500 kerusi plastik dan pemasangan alat pendingin hawa di surau sekolah," katanya pada majlis perasmian mesyuarat agung itu, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Pendidikan, Pejabat Pendidikan daerah, yang juga Naib Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Mashadi Datuk Mustaffa.

Nik Muhamad berkata, ketiadaan dewan tertutup itu sebelum ini menyebabkan pelajar yang menduduki peperiksaan utama dan guru bertugas terpaksa menggunakan bilik kelas di tingkat tiga sekolah berkenaan.

"Insya-ALLAH selepas ini tidak ada lagi masalah pelajar dan guru bertugas terpaksa turun naik ke tingkat tiga setiap kali ada peperiksaan termasuk untuk peperiksaan percubaan.

"Kita juga perlu ada kerusi (plastik) sendiri kerana sebelum ini, pihak sekolah terpaksa sewa kerusi dari luar jika ada program besar seperti mesyuarat PIBG pada malam ini," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, peruntukan tersebut adalah tambahan kepada sumbangan RM20,000 yang diberikan oleh beliau kepada PIBG sekolah berkenaan sebelum ini.

"Setiap sekolah menengah dan rendah di parlimen ini terima sumbangan RM20,000 untuk PIBG masing-masing tetapi untuk SMK Dato Mahmud Paduka Raja 2, saya tambah lagi RM30,000.

"Sebelum ini, saya juga telah berjaya mendapatkan peruntukan hampir RM500,000 bagi pembinaan dewan terbuka untuk kemudahan pelajar sekolah ini," katanya yang juga Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan.