Presiden MCA rai majlis perkahwinan sepupu beragama Islam

Ka Siong (berbaju kelabu) ketika hadir majlis perkahwinan sepupunya yang beragama Islam.
Ka Siong (berbaju kelabu) ketika hadir majlis perkahwinan sepupunya yang beragama Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan perbezaan agama dan budaya bukan penghalang dalam hubungan kekeluargaan.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu dalam satu hantaran di Facebook menyatakan, beliau telah menghadiri satu majlis perkahwinan sepupunya yang beragama Islam.

“Pagi ini, saya menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya, Azhari Azizi di Setapak. Ibu Azhari, Junaidah Ibrahim dan ibu saya merupakan adik beradik kandung.

“Ramai bapa saudara, ibu saudara dan anak cucu mereka datang dari Johor, Melaka, Pulau Pinang turut hadir memeriahkan majlis perkahwinan Azhari.

“Kepada Pak Cik Azizi dan Mak Cik Jun, tahniah diucapkan atas kehadiran menantu baharu dalam keluarga, semoga Azhari dan pasangannya, Humaira Mardhiah sentiasa hidup bahagia sehingga ke akhir hayat,” ujarnya pada Ahad.

Ka Siong dilahirkan dalam sebuah keluarga berketurunan Cina Hakka pada 20 Oktober 1968.

Beliau kemudian mendapat pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Hsien, Tampin, Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bendahara Jasin, Melaka sebelum menyambung ke peringkat pengajian tinggi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sementara itu, hantarannya tersebut mendapat respons daripada warga maya di media sosial berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Pemilik akaun bernama Chung Thiong Gee berkata, rakyat Malaysia sewajarnya mengenepikan perbezaan dan mengetengahkan persamaan dalam menjalani kehidupan.

“Anak Malaysia sepatutnya hidup bersama mengikut acuan kebersamaan, bersama kita memperkasakan persamaan dan mengetepikan perbezaan dari segala aspek hidup kita,” jelasnya.

Pada masa yang sama, individu bernama Mbr Mbr berpandangan ia merupakan satu contoh yang baik kepada masyarakat.

“Setinggi-tinggi penghargaan atas teladan yang sangat baik ditunjukkan oleh Ka Siong,” tambahnya.