Kanak-kanak teruja, seronok duduk di PPS

Nur Afikah Syazana Najwa (kanan) bersama rakannya, Sumaiyyah (dua dari kanan) menyertai aktiviti mewarna di PPS SK Atas Tol pada Isnin.
Nur Afikah Syazana Najwa (kanan) bersama rakannya, Sumaiyyah (dua dari kanan) menyertai aktiviti mewarna di PPS SK Atas Tol pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kanak-kanak yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di sini, teruja dengan pelbagai aktiviti diadakan bagi mengisi masa terluang sepanjang berada di pusat pemindahan itu.

Nur Afikah Syazana Najwa A Rahman, 8, dari Kampung Belukar Jambu berkata, dia teruja berada di PPS itu kerana terdapat banyak aktiviti bermanfaat yang boleh dilakukan di samping bertemu kawan-kawan baharu.

Katanya, apa yang menggembirakan ialah PPS itu merupakan tempat dia bersekolah dan pada masa sama dapat bertemu rakan sekolah yang juga menjadi mangsa banjir.

"Hari ini saya melakukan aktiviti mewarna bersama kawan-kawan baharu termasuk seorang kawan saya yang bersekolah di sini.

"Walaupun berada di PPS, saya tidak rasa bosan malah rasa seronok kerana dapat melakukan banyak aktiviti bersama rakan-rakan di sini," katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui pada Isnin.

Nur Afikah Syazana Najwa bersama lima ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya mula berpindah ke PPS itu sejak jam 8 malam pada Ahad.

Mereka sekeluarga terpaksa berpindah disebabkan sebahagian kawasan rumah dinaiki air.

Sementara itu, rakan Nur Afikah Syazana Najwa, Sumaiyyah Abd Rahman, 8, dari Kampung Laut berkata, dia merasai pengalaman serupa ketika berada di PPS itu.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang berada di sini banyak permainan yang disediakan, jadi masa yang ada terisi dengan aktiviti berfaedah," jelasnya.

Selain aktiviti mewarna, terdapat aktiviti lain disediakan di situ melibatkan aktiviti 'indoor' antaranya permainan catur, sahiba, dam, saidina serta beberapa aktiviti lain.

Selain aktiviti dilakukan oleh kanak-kanak, mangsa banjir melibatkan golongan dewasa turut diberikan kaunseling khusus sebagai langkah sokongan emosi mereka yang terjejas akibat bencana itu.

Setakat jam 5 petang Isnin, PPS SK Atas Tol menempatkan 60 mangsa banjir dari Kampung Bukit, Kampung Titian Baru, Kampung Surau Panjang, Kampung Belukar Jambu, Kampung Titian Rawa/Tok Pong, Taman Desa Setia, Kampung Kedai Buluh dan Kampung Laut.