Bank Makanan Siswa bantu 20,000 mahasiswa

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar (dua,kiri) disaksikan Muez (tiga,kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada salah seorang wakil penerima pada majlis perasmian Bank Makanan Siswa UTM di sini, hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar (dua,kiri) disaksikan Muez (tiga,kiri) menyampaikan bantuan makanan kepada salah seorang wakil penerima pada majlis perasmian Bank Makanan Siswa UTM di sini, hari ini.
A
A
A

SKUDAI - Lebih 20,000 mahasiswa daripada golongan B40 di beberapa universiti awam bakal menerima bantuan makanan untuk meringankan beban keluarga, tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz berkata, bantuan langsung melalui Program Bank Makanan Siswa itu adalah inisiatif kerajaan bagi membantu mahasiswa berdepan kos sara hidup yang tinggi.

"Untuk tahun ini kita rancang untuk masuk ke semua universiti awam dan kita sasarkan 20 universiti. Program ini boleh dimanfaatkan lebih kurang 20,000 mahasiswa seluruh negara. Kalau lebih, lagi bagus. Apa yang penting mahasiswa terima manfaatnya.

"Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini yang kelima selepas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM)," kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Bank Makanan Siswa UTM di sini, hari ini.

Dalam program Bank Makanan Siswa UTM itu, seramai 200 mahasiswa UTM daripada golongan B40 akan menerima makanan siap masak setiap minggu dan bekalan makanan seperti biskut, roti, air mineral yang boleh diambil di pantri makanan disediakan.

"Buat permulaan 200 orang pelajar dahulu yang betul-betul susah di sini (UTM). Ada ayah kerja petani, anak yatim dan keluarga susah.

"Sedikit sebanyak dapat bantu mereka yang kurang bernasib baik ini mengurangkan beban ibu dan bapa," katanya.

Menurut Muez, inisiatif itu selaras dengan rintihan mahasiswa di ibu kota sebelum ini yang dilaporkan terpaksa mengikat perut.

Artikel Berkaitan:

"Ya, ada kaitan dengan rintihan pelajar yang tak cukup makan, kos sara hidup yang tinggi.

"Jadi, ini salah satu cara untuk tangani kos sara hidup mereka. Cepat dapat, hasil terus dan impaknya besar kepada mahasiswa," katanya.

Katanya, program itu akan berterusan dan setiap barangan yang kehabisan stok akan segera ditambah.

"Kita mahu program ini berterusan, itu yang mencabar. Tidaklah selepas habis pelancaran, maka habislah barangnya.

"Kalau stok habis, KPDNHEP negeri perlu maklum pusat segera untuk tambahan stok segera," katanya.