Seni kemungkinan politik Malaysia

'Perang' bendera memeriahkan suasana kempen PRU15 di Malaysia. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
'Perang' bendera memeriahkan suasana kempen PRU15 di Malaysia. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KATA orang, politik adalah seni yang penuh dengan kemungkinan. Bagi kita yang tidak terlibat dalam politik secara langsung, frasa itu mungkin sekadar bahasa mulut orang politik.

Namun dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia, kita melihat frasa tersebut sangat dekat dalam percaturan orang politik.

Siapa boleh membayangkan bagaimana Tun Dr Mahathir Mohamad yang hidup matinya bersama UMNO malah pernah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun atas nama UMNO, akhirnya menumbangkan parti itu pada PRU14.

Ironinya, Dr Mahathir mencapai misi hampir mustahil itu menggunakan parti musuh ketatnya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu PKR.

Pasca-PRU14 kita menyaksikan satu lagi jajaran yang tidak terfikir boleh terjadi. Perseteruan UMNO-Pas, pernah membawa kepada isu kafir-mengkafir, tetapi akibat suasana politik ketika itu, orang UMNO dan Pas rela melupakan sengketa selama lebih 40 tahun dan bekerjasama sehingga mampu menggugat kerajaan Pakatan Harapan (PH).Dinamik dan 1,001 kemungkinan dalam politik negara nampaknya berlarutan sehingga hari ini. Salah satu kejutan terbesar tentunya apabila pemimpin UMNO boleh duduk semeja membentuk kerajaan dengan pemimpin PH terutamanya DAP.

UMNO dan DAP adalah satu lagi musuh ketat sejak lebih lima dekad lalu. Ramai yang boleh mengingati setiap kali kekecohan di Parlimen biasanya terjadi akibat perang mulut ahli Parlimen UMNO dan DAP.Walaupun ada sesetengah ahli parti kurang bersetuju dengan salam kerjasama itu hari ini, bagaimanapun pemimpin tertinggi kedua-dua parti telah berjaya membuka buku baharu.

Terkini, meskipun Akta Anti Lompat Parti telah diluluskan, ternyata ia belum mampu menamatkan perbuatan lompat-melompat wakil rakyat pascapilihan raya. Ia susulan empat ahli Parlimen dan 14 ADUN Bersatu Sabah keluar parti itu, susulan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil keputusan bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.Percaturan awal mereka bertanding atas tiket GRS mungkin menyelamatkan ahli Parlimen Bersatu Sabah daripada dikenakan tindakan Akta Anti Lompat Parti dan seterusnya kehilangan kerusi.

Namun, sudah pasti ia satu tamparan hebat buat Bersatu pada saat parti itu berbangga dengan keputusan cemerlang PRU15.

Artikel Berkaitan:

Adakah ini pengakhirannya? Tentulah tidak! Dengan politik adalah seni segala kemungkinan, tidak mustahil lebih banyak kejutan dan drama boleh berlaku selepas ini.