Penyambungan semula projek ECRL bukanlah pertukaran bagi Jho Low

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bangunan Perdana Putra hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyambungan semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) susulan pemeterian perjanjian tambahan dengan China bukanlah sebagai pertukaran bagi ahli perniagaan Malaysia yang kini hidup sebagai orang pelarian, Low Taek Jho atau Jho Low, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan Malaysia akan mendapatkan bantuan kerajaan China sekiranya Jho Low benar-benar berada di China.

Menurut laporan terkini media, Jho Low, yang didakwa menjadi dalang dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dipercayai tinggal di China, dan baru-baru ini dikatakan melakukan perjalanan ke Hainan, Hong Kong dan Beijing.

Selain Malaysia, Jho Low juga sedang diburu Singapura dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun sudah tentulah kami akan mendapatkan bantuan kerajaan China sekiranya dia benar-benar berada di China," kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar mengenai projek ECRL, di sini hari ini, ketika ditanya sama ada perjanjian ECRL ditandatangani sebagai pertukaran untuk China membantu mengesan Jho Low. -Bernama

Artikel Berkaitan: