UMT agih zakat RM1 juta kepada 1,582 pelajar asnaf

Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol kepada graduan pada Majlis Konvokesyen UMT ke-20 Tahun 2022.
Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan skrol kepada graduan pada Majlis Konvokesyen UMT ke-20 Tahun 2022.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengagihkan bantuan zakat berjumlah lebih RM1 juta kepada 1,582 pelajar asnaf pada tahun ini bagi meningkatkan kesejahteraan mahasiswa terpilih.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, bagi pendaftaran pelajar baharu kali ini pula seramai 500 pelajar yang tersenarai sebagai asnaf turut menerima bantuan Dermasiswa Al-Ikhlas berjumlah RM250,000.

"Selain itu, UMT akan memperkenalkan Program AsnafPro iaitu pembiayaan penuh biasiswa zakat UMT kepada pelajar terpilih," katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UMT ke-20 Tahun 2022 yang disempurnakan Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah di sini pada Ahad.

Seramai 1,601 graduan terdiri daripada 171 graduan pasca siswazah, 1297 graduan Sarjana Muda dan 133 graduan Diploma diraikan dalam majlis yang berlangsung selama empat sesi bermula Ahad hingga Isnin.

Menurut Mazlan, dalam aspek pengukuhan pencapaian penyelidikan menuju penarafan enam bintang Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA), UMT sedang merangka Pelan Strategik UMT 2023-2027.

Beliau berkata, pelan tersebut sejajar dengan 10 lonjakan yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) 2015–2025.

Sepanjang tahun 2022 katanya, secara kumulatif UMT telah berjaya memperoleh lebih RM8.7 juta geran penyelidikan termasuk dana Geran Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan 2022.

"UMT sentiasa berusaha untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan selari dengan aspirasi untuk menjadi peneraju ilmu kelautan dan sumber akuatik terunggul dalam negara dan disegani global.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat antarabangsa, UMT tersenarai dalam kelompok 200 universiti terbaik di Asia dalam penarafan Asia University Rankings 2022 oleh Times Higher Education (THE) World University Rankings.

"Selain itu, UMT juga antara sembilan universiti Malaysia yang tersenarai dalam World University Rangkings on Sustainability 2023," katanya.