Kesal dengan tindakan Bersatu Sabah - Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUANTAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) amat kesal dengan tindakan kepimpinan Bersatu di Sabah yang mengumumkan keluar daripada parti itu pada Sabtu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, tindakan mereka tidak menyalahi Akta Anti Lompat Parti kerana Sabah masih belum meluluskan akta berkenaan.

"Kita kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh teman saya di Sabah apabila mereka memenangi kerusi atas nama (Parti Bersatu) tetapi telah membuat keputusan untuk dikeluarkan parti ini.

"Mereka dikatakan mahu membentuk parti baharu dan buat sementara waktu mereka berada di bawah parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Sungguhpun begitu, masih ada beberapa ahli Parlimen dan kepimpinan daripada Bersatu Sabah yang setia dan akan meneruskan perjuangan parti itu di negeri itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Pusat Khidmat Komuniti Parlimen Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor membuat pengumuman semua kepimpinan Bersatu keluar daripada parti itu selepas mempertimbangkan keadaan landskap politik negara ketika ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah menjelaskan keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, Bersatu Pahang akan tetap kekal, utuh dalam Bersatu dan tidak akan berganjak dokongan serta sokongan kepada parti terbabit.

Tegasnya, dalam mesyuarat ahli Parlimen Bersatu sebelum ini telah dicadangkan agar parti membuat muhasabah dengan mencadangkan tiga perkara.

“Pertama, Bersatu perlu mengolah balik matlamat dan objektif Bersatu yang ditubuhkan untuk mengganti UMNO di mana sebahagian matlamat telah dicapai dengan kemenangan 70 daripada 112 kerusi majoriti Melayu.

“Kedua, Bersatu perlu memperkasa sayap bersekutu yang membuka keahlian kepada bukan Melayu dan bukan bumiputera sekaligus mempertingkatkan sokongan mereka terhadap Bersatu.

“Ketiga adalah dengan meningkatkan program pentadbiran parti supaya memiliki jentera pilihan raya yang lebih komited dan mantap,” jelas beliau yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional Pahang.