Pemimpin Sabah ambil keputusan tepat - Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kepimpinan parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah keluar daripada parti itu disifatkan sebagai keputusan yang tepat, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, meskipun sukar, ia perlu dilakukan demi kepentingan masa depan Negeri di Bawah Bayu itu.

"Keputusan yang tepat diambil oleh pemimpin-pemimpin Sabah.

"Keputusan yang sukar namun tetap dilakukan demi masa depan negeri dan kepentingan rakyat Sabah," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tentang keputusan kepimpinan Bersatu di Sabah untuk keluar daripada parti itu.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor selepas mengambil pertimbangan keadaan landskap politik negara ketika ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, keputusan sebulat suara itu adalah demi kepentingan Sabah, perpaduan dan memenuhi hasrat serta aspirasi rakyat untuk terus berjuang di bawah naungan sebuah parti tempatan.

Ujarnya, tindakan kepimpinan Bersatu Sabah meninggalkan Bersatu adalah atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, ini kerana di peringkat Persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, beliau berkata, sebuah parti tempatan baharu akan ditubuhkan namun secara kolektif mereka adalah sebagai ahli GRS.

-tamat-