Timbalan menteri dari Sabah sedia galas tanggungjawab

Dari kiri: Foong Hin dan Siti Aminah.
Dari kiri: Foong Hin dan Siti Aminah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin bertekad akan memenuhi matlamat jaminan pengeluaran makanan supaya mencukupi selain memastikan kebajikan tenaga kerja dalam sektor agro terus terpelihara.

Beliau yang diumumkan memegang portfolio itu pada Jumaat menganggap jawatan yang dipikulnya adalah sebagai satu amanah penting dalam usaha mencurah bakti terhadap negara.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meletakkan kepercayaan terhadap diri saya bagi menggalas tanggungjawab ini.

"Peranan ini saya anggap sebagai satu amanah penting dalam usaha mencurah bakti terhadap negara. Saya juga begitu berbesar hati dapat berkhidmat bersama Mohamad Sabu dalam Kerajaan Perpaduan ini bagi merealisasikan hasrat dan impian rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada pimpinan parti DAP terutama Setiausaha Agung, Anthony Loke atas pencalonan nama beliau sebagai timbalan menteri.

"Menjadikan Tawaran Harapan sebagai panduan dan pedoman, saya akan bekerjasama secara erat dengan menteri dan kakitangan kementerian bagi memenuhi matlamat jaminan pengeluaran makanan yang mencukupi dan pada masa sama memastikan kebajikan tenaga kerja dalam sektor agro seperti petani, nelayan, dan penternak terus terpelihara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komiditi, Datuk Siti Aminah Aching akan meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor perladangan dan komoditi bagi memperkukuhkan serta memperluaskan pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Selain itu, tumpuan juga adalah kepada meningkatkan sumbangan sektor perladangan dan komoditi dalam pembangunan sosio-ekonomi serta pertumbuhan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Artikel Berkaitan:

"Sabah sebagai sebuah negeri pertanian, jadi sudah tentu tanggungjawab yang diberikan ini saya ingin melihat pembangunan dalam sektor perladangan dan komoditi berkembang secara mampan selain mampu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat khususnya di negeri ini, " katanya.