Kegiatan seleweng 36,000 liter diesel bersubsidi tumpas

Minyak diesel bersubsidi sebanyak 36,300 liter disita KPDN Teluk Intan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Anson, Teluk Intan pada Jumaat. Foto: Ihsan KDPN Perak
Minyak diesel bersubsidi sebanyak 36,300 liter disita KPDN Teluk Intan di sebuah premis di kawasan Perindustrian Anson, Teluk Intan pada Jumaat. Foto: Ihsan KDPN Perak
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Teluk Intan berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di kawasan Perindustrian Anson, Teluk Intan pada Jumaat.

Pengarah KPDN Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, serbuan bermula kira-kira jam 10.45 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Teluk Intan yang diketuai oleh Mohd Badrul Hisham Ahmad Alias.

Menurutnya, serbuan berkenaan dilakukan hasil risikan anggota penguat kuasa KPDN selama seminggu.

"Hasil pemeriksaan di premis tersebut mendapati 41 buah tangki empat segi berkapasiti 1,000 liter berisi minyak disyaki diesel berada di tempat kejadian. Turut ditemui sebuah lori dengan muatan dua buah tangki empat segi berisi minyak disyaki diesel.

"Selain itu premis berkenaan turut disyaki telah beroperasi lebih kurang sebulan tanpa sebarang lesen atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan awal juga mendapati modus operandi sindiket ini dibuat dengan cara membeli minyak diesel di stesen minyak sekitar Teluk Intan, dikumpulkan dan seterusnya dipercayai akan dijual kepada pihak industri di negeri sempadan.

Jelas Saifullizan, KPDN Teluk Intan bertindak menyita sebanyak 36,300 liter minyak disyaki diesel dan sebuah lori dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM78,045.

Menurutnya, susulan itu juga, dua lelaki masing-masing berusia 42 dan 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Siasatan lanjut akan diteruskan dengan mengenalpasti rangkaian sindiket yang terlibat," katanya.