PBS susun semula parti, fokus generasi muda

Maximus Ongkili. Foto: Bernama
Maximus Ongkili. Foto: Bernama
A
A
A
KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) akan menyusun semula parti itu bagi mengikuti senario politik semasa, termasuk mengalihkan fokusnya dalam memberi penekanan kepada generasi muda.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, program akan dianjurkan di bawah Pergerakan Pemuda Bersatu (BYM) dalam usaha menarik minat pengundi baharu memandangkan golongan belia memainkan peranan besar semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan lepas.

Beliau berkata, parti bercadang untuk melaksanakan program secara penglibatan langsung golongan muda dalam peranan sebagai pemimpin dan penglibatan praktikal dengan pemimpin parti.

"Malah, terdapat beberapa aktiviti sedia ada turut dijalankan di bawah BYM dan Akademi Kepimpinan Bersatu (Akademi Kepimpinan Bersatu), yang akan direka bentuk semula untuk menepati senario politik semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ongkili, yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) turut menegaskan PBS akan terus memperjuangkan hak negeri dan rakyat seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata perkara berkaitan MA63 yang dipersetujui untuk dipulihkan boleh dilaksanakan tanpa mendapat persetujuan daripada Jawatankuasa Kabinet," katanya.

Ongkili berkata, masalahnya ialah kebanyakan perkara berkaitan dengan hak Sabah tidak begitu mudah, kerana ia berkait dengan beberapa isu lain terutamanya dalam soal undang-undang, dasar dan pelaksanaan.

Beliau berkata, dahulunya sukar untuk memulihkan hak tersebut kerana apabila melibatkan soal pelaksanaan, sektor berkaitan itu perlu bertindak berdasarkan persetujuan dan bukannya secara tunggal, tambahnya.

"Sebelum ini, kita telah berusaha dan mendapati bahawa satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah itu ialah membentuk satu jawatankuasa tunggal, dengan semua pihak duduk dan membuat keputusan bersama-sama berhubung pelaksanaan...ia tidak boleh dikendalikan secara berasingan," kata Ongkili.- Bernama
Artikel Berkaitan: