Senarai nama ahli langgar etika parti diteliti: Ahmad Maslan

Ahmad (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada belia Kampung Jawa Ulu pada Jumaat.
Ahmad (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada belia Kampung Jawa Ulu pada Jumaat.
A
A
A

PONTIAN - UMNO sedang meneliti senarai nama ahlinya yang melanggar etika dan perlembagaan parti termasuk menjadi calon bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan tatatertib yang bakal diambil termasuk dilucutkan keahlian serta-merta.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan pengukuhan parti dapat dilakukan selepas PRU15.

"UMNO sedang meneliti seluruh senarai nama ahli yang menjadi calon bebas, pencadang atau penyokong kepada calon selain daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu.

"Bagaimanapun proses ini mengambil masa kerana memerlukan pengesahan daripada bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara.

"Justeru itu, saya meminta kepada bahagian-bahagian UMNO supaya menghantar laporan sekiranya ada ahli di kawasan jadi calon bebas atau pencadang atau penyokong kepada calon selain daripada UMNO dan BN," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika hadir pada Majlis Khatan Perdana di Majlis Kampung Jawa Ulu, Pontian di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, enggan mengulas lanjut ketika diajukan soalan mengenai ahli yang dilucutkan keahlian boleh membuat rayuan.

Artikel Berkaitan:

"Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mempunyai kuasa dalam melucutkan atau menerima keahlian ahli-ahlinya," katanya.

Pada 5 November lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, mengikut Perlembagaan UMNO, parti mempunyai hak untuk memecat mana-mana ahli yang bertanding atas tiket selain parti termasuk menjadi pencadang dan penyokong calon mewakili pembangkang.

"Keahlian mereka di dalam UMNO dengan ini gugur secara automatik sesuai dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO.

“Ingin ditegaskan, berdasarkan Fasal 20.11 ini, UMNO akan memantau secara berterusan sekiranya terdapat mana-mana ahli yang terlibat dengan aktiviti menyokong calon parti lawan, sepanjang tempoh kempen PRU15 dan tindakan memecat keahlian mereka akan diambil serta-merta,” katanya.