'Banjir kilat... kami dah penat' - Penduduk Kampung Bemban

Tentera dan anggota Angkatan Pertahanan Awam bergotong-royong membantu membersihkan rumah penduduk. (Gambar dalam : Ramlah Wati dan Mohd Fahmi)
Tentera dan anggota Angkatan Pertahanan Awam bergotong-royong membantu membersihkan rumah penduduk. (Gambar dalam : Ramlah Wati dan Mohd Fahmi)
A
A
A

SEREMBAN - "Tolonglah... kami dah penat." Itu luah penduduk Kampung Bemban di Jalan Pantai di sini berhubung masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.

Dalam kejadian pada Khamis kira-kira jam 4.30 petang itu, beberapa rumah dinaiki banjir setinggi 1.5 meter (paras dada) menyebabkan ada yang mengalami kemusnahan besar.

Suri rumah, Ramlah Wati Ramli, 43, berkata, kesemua barangan dalam rumahnya musnah ditenggelami banjir kilat menyebabkan dia sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Menurutnya, sejak tinggal menyewa di situ sembilan tahun lalu, sebanyak empat kali rumahnya dinaiki banjir.

"Semalam (Khamis) hujan lebat dalam tempoh dua jam menyebabkan air naik sehingga paras dada. Saya hanya sempat selamatkan anak-anak dan kereta kerana air naik terlalu cepat.

"Memang ada yang nasihatkan kami berpindah cari rumah sewa lain kerana simpati dengan nasib kami. Tapi susah nak cari rumah sewa dengan harga kemampuan kami sekarang ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Malah disebabkan kerap berdepan isu banjir, Ramlah hanya menggunakan perabot dan perkakasan rumah hasil sedekah orang ramai.

Katanya, tidurnya kini sering terganggu terutamanya ketika hujan kerana bimbang berlaku banjir.

Penduduk terpaksa membuang perkakasan dan perabot yang rosak.
Penduduk terpaksa membuang perkakasan dan perabot yang rosak.

"Bila banjir ini, paling utama kita risaukan soal keselamatan diri dan selepas banjir pula penat mengemas rumah.

"Harapnya ada penyelesaian daripada pihak berwajib. Kami dah penat," katanya.

Selain itu Mohd Fahmi Mohd Saad, 30, hanya mampu melihat kesemua perabot baharu yang dibelinya tahun lalu rosak ditenggelami banjir.

Ujarnya, sejak lapan tahun tinggal menyewa di situ, sudah lima kali rumahnya dinaiki banjir.

"Saya baru saja beli televisyen, peti ais dan set bilik tidur selepas semuanya musnah dalam kejadian banjir besar tahun lepas.

"Tapi ini rosak lagi. Saya pun tak tahulah macam mana selepas ini nak beli baharu atau tak. Kami ini bukannya orang senang," katanya yang masih perlu membayar hutang ansuran kesemua produk berkenaan.

Justeru, dia berharap pihak berwajib perlu mendalamkan sungai di kawasan itu yang semakin cetek bagi mengurangkan risiko berlaku banjir kilat.