Hobi hias rumah cetus idea hasilkan pasu tuala terbuang

Abdul Aziz menyusun pasu daripada tuala terpakai yang dihasilkan di Kampung Chatel Damai.
Abdul Aziz menyusun pasu daripada tuala terpakai yang dihasilkan di Kampung Chatel Damai.
A
A
A

KUALA KRAI - Kreativitinya membuat pasu bunga daripada tuala terpakai mampu menjana pendapatan tambahan keluarga terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tiga tahun lalu.

Lebih unik, pasu tuala rekaan Abdul Aziz Setapa, 47, tahan lasak dan boleh digunakan untuk menanam bunga di luar rumah serta tidak terhad dengan keadaan cuaca.

Abdul Aziz ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chatel Damai memberitahu, hobi menghias rumah dan sekitarnya menggalakkan dia mencipta pasu unik itu.

"Saya suka mencipta sesuatu yang baharu serta ada kelainan. Ketika PKP, saya cuba membuat pasu ini dan ternyata mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Abdul Aziz turut membuat pasu untuk isterinya, Nor Asyikin Abdul Wahab, 43, yang mempunyai hobi menanam bunga.

Kakitangan swasta itu bagaimanapun mengakui sukar mendapatkan tuala tebal untuk hasil pasu berkualiti.

Bagi menghasilkan pasu terbaik dan tidak mudah pecah, Abdul Aziz berkata, tuala perlu dilumur larutan simen yang tebal dan dimasukkan dalam acuan.

Abdul Aziz mewarna pasu yang dihasilkan.
Abdul Aziz mewarna pasu yang dihasilkan.

Artikel Berkaitan:

"Pasu ini perlu dikeringkan beberapa hari bergantung kepada keadaan cuaca sebelum dicat," katanya.

Bapa kepada empat anak berusia enam hingga 22 tahun itu kini membuat pasu pada waktu malam selain cuti hujung minggu.

Lebih menggembirakan katanya, pasu pelbagai warna yang menghiasi ruang tanaman bunganya itu turut menarik perhatian rakan-rakan untuk membeli dan dijadikan koleksi.

Justeru, kini Abdul Aziz membeli 30 hingga 40 kilogram tuala terpakai daripada beberapa penjual pakaian terpakai bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Tambahnya, pasu yang sudah siap dijual dengan harga serendah RM7 bergantung kepada saiz serta bentuk.