Buruh pukul anjing guna kayu didenda RM23,000

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang buruh yang memukul seekor anjing betina dengan sebatang kayu sehingga cedera, didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis.

Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong Kay Sang, 62, selepas dia mengaku bersalah memukul haiwan milik Yee Chan Fai, 35, di sebuah rumah di Taman Saga di sini, pada 9 pagi, 24 Mei lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan Kay Sang sebagai orang kena saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata OKS tidak sepatutnya bertindak memukul anjing itu menggunakan kayu sehingga cedera kerana binatang juga mempunyai perasaan.

Berdasarkan fakta kes, Kay Sang diserang anjing berkenaan semasa berada berdekatan keretanya sebelum bertindak melarikan diri apabila dikejar haiwan itu sehingga terjatuh dan mengalami luka di lutut kanan, siku kanan selain lebam di muka.

Dia kemudian mengejar anjing itu sehingga masuk ke rumah Chan Fai dan memukul haiwan tersebut menggunakan sebatang kayu menyebabkan bahagian ekornya berdarah.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor, Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat manakala peguam Hajinder Singh mewakili Kay Sang memohon denda paling minimum kerana anak guamnya penanggung utama keluarga dan mempunyai penyakit darah tinggi serta diabetes.

"OKS bertindak sedemikian (memukul) kerana diserang anjing tersebut. OKS menyesal dengan tindakan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata peguam.



Sementara itu, di mahkamah sama, Chan Fai mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal dalam kewajipannya untuk mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan, pada 8.30 pagi, pada tarikh dan lokasi sama.
Artikel Berkaitan:


Pertuduhan mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 19 Jan untuk sebutan semula kes. - Bernama