Mahkamah putuskan undang-undang kunci tayar MPKB tidak sah

Gambar kiri: Kereta Nursyafawati yang diparkir dalam petak kereta dikenakan tindakan kunci tayar. Gambar kanan: Hisham tengah) ketika sidang akhbar pada Khamis.
Gambar kiri: Kereta Nursyafawati yang diparkir dalam petak kereta dikenakan tindakan kunci tayar. Gambar kanan: Hisham tengah) ketika sidang akhbar pada Khamis.
A
A
A
KOTA BHARU - Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis secara sebulat suara memutuskan bahawa undang-undang kunci tayar Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tidak sah kerana bertentangan (ultra-vires) dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

Keputusan itu dibuat selepas seorang kerani, Nursyafawati Kasim, 33, dikenakan tindakan kunci tayar dalam kejadian Julai 2019 dan mengambil keputusan membawa kes itu ke mahkamah.

Peguam Nursyafawati, Hisham Fauzi berkata, dalam penghakiman yang dibacakan oleh Hakim Datuk Hashim Hamzah, Mahkamah Rayuan mendapati bahawa Perintah 17, Perintah Pengangkutan Jalan (LKB) (MPKB) 2000 adalah bertentangan dengan Seksyen 72(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Turut bersidang secara dalam talian ialah Hakim Datuk Abdul Karim Jalil dan Hakim Datuk Supang Lian.

"Justeru, MPKB tidak lagi boleh mengunci tayar kereta yang diparkir dalam petak letak kereta dan hanya boleh mengenakan kompaun jika pemilik kenderaan gagal menjelaskan bayaran parkir," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Hisham dibantu oleh Ang Khai Wei, Majdah Muhammad dan Haziratul Aqilah Huzailing manakala MPKB pula diwakili peguam Marwalis Adam dan dibantu Shaharuddin Mohamed.

Hisham dalam pada itu memaklumkan MPKB perlu menyemak semula undang-undang termasuk Perintah Pengangkutan Jalan MPKB 2000 bagi mengelakkan masalah sama kepada pengguna kenderaan lain.

Tambah beliau, jumlah notis tawaran kompaun bukan membolehkan hukuman kunci tayar kepada pemilik kenderaan.

Beliau turut memaklumkan Nursyafawati sebelum itu menerima antara 11 hingga 12 notis kompaun.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun MPKB perlu mengambil tindakan melalui prosedur mahkamah dan tidak sewenang-wenangnya mengunci tayar kenderaannya," katanya.