56 tren LRT laluan Kelana Jaya dijangka beroperasi tahun depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 56 set tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, dijangka akan beroperasi secara berperingkat menjelang suku ketiga tahun hadapan bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan pada waktu puncak, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, pada masa ini, hanya 38 set tren LRT beroperasi pada waktu puncak dengan kekerapan perkhidmatan lima minit, manakala 18 lagi tidak dapat beroperasi kerana sedang menjalani pelbagai jenis proses penyelenggaraan.

"Untuk mencapai kekerapan tiga minit kita memerlukan 48 set tren beroperasi... saya telah minta Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) percepatkan proses penyelenggaraan.

"Dalam tempoh ini (terdekat) kita tak dapat memberi komitmen untuk turunkan kepada tiga minit kekerapan, kita masih kekal lima minit tapi tidak bermakna lima minit itu statik, kalau ada tren tambahan kita akan percepatkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata, Prasarana juga telah membeli 19 set tren baharu untuk laluan sama, dengan unit pertama akan beroperasi Ogos tahun hadapan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih baik dan selesa.

Pada masa sama, beliau berkata, Prasarana juga akan membuat penyelenggaraan major kepada keseluruhan sistem LRT, termasuk janaan kuasa bagi memastikan perkhidmatan lebih selamat dan stabil.

"Pada waktu ini perkhidmatan masih belum stabil, saya memohon maaf kepada penumpang, kerana dalam tempoh beberapa bulan ini memang masih akan ada perkhidmatan yang tergendala dari masa ke masa.

"Tetapi pihak pengurusan telah diminta memberi perhatian, yang paling serius ada back up plan, SOP (prosedur operasi standard) lebih ketat bagi meminimakan perkhidmatan yang tergendala," katanya menambah laporan punca insiden penutupan 16 stesen LRT Kelana Jaya pada bulan lepas, dijangka lengkap dalam tempoh dua minggu lagi dan akan dikongsi kepada umum.

Dalam pada itu, Loke berkata, pihaknya akan memberikan kontrak bagi menggantikan lebih 16 kemudahan lif di stesen monorel yang tidak berfungsi pada Februari tahun depan, selain menempah 192 unit handrail dan 22 unit step chain bagi membaik pulih 46 daripada 706 eskalator yang tidak berfungsi.

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti lebih 600 lampu yang tidak berfungsi dan 17 lokasi yang mengalami masalah kebocoran yang perlu diambil tindakan segera.

Sementara itu, Loke berkata, beliau telah mengarahkan pengurusan Bahagian Darat Kementerian Pengangkutan memperluaskan skop jawatankuasa bagi semua kemudahan pengangkutan awam di Lembah Klang, untuk memperkukuh ekosistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh.

"Setakat ini, mereka ada satu jawatankuasa audit di antara Kementerian Pengangkutan dan Prasarana, tetapi pada saya bidang tugas bukan hanya bawah Prasarana, ia perlu merangkumi pelbagai agensi, pihak berkuasa tempatan dan syarikat operator yang lain, umpamanya Keretapi Tanah Melayu Berhad," katanya.

Beliau berkata, Prasarana juga akan mengkaji bentuk insentif kepada first mile dan last mile termasuk penggunaan e-panggilan, bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Katanya, kajian termasuk aspek implikasi kewangan akan dijalankan pada waktu terdekat dan dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk dilengkapkan.

Artikel Berkaitan:


Sementara itu dalam perkembangan lain, ketika ditanya gesaan untuk menyiasat keputusan kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura oleh mantan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi semalam, Loke berkata belum ada sebarang perbincangan dilakukan berkaitan perkara itu. - Bernama