Konvoi ke Thailand tetap diteruskan

Meskipun negara berkenaan digemparkan dengan insiden pengeboman di Sadao, Songkhla pada Sabtu

Mohd Rozaimi bersama isterinya di salah sebuah lokasi di Thailand.
Mohd Rozaimi bersama isterinya di salah sebuah lokasi di Thailand.
A
A
A

SHAH ALAM - Aktiviti konvoi permotoran ke Thailand tetap diteruskan meskipun negara berkenaan digemparkan dengan insiden pengeboman yang berlaku di Sadao, Songkhla pada Sabtu.

Setiausaha TM Bikers Malaysia, Mohd Rozaimi Arif Arshad berkata, pihaknya telah membuat persediaan dari aspek langkah-langkah keselamatan bagi memastikan perjalanan konvoi berjalan dengan lancar.

“Antara langkah keselamatan yang kami lakukan untuk masuk ke Thailand adalah menyediakan insurans wajib motosikal (compulsory motor insurance) untuk kenderaan masing-masing.

“Selain itu, peserta diingatkan untuk tidak berkumpul di mana-mana lokasi yang dianggap panas (redzone).

“Kami juga akan memastikan hotel dan jalan yang akan kami lalui itu tidak tersenarai dalam kategori redzone seperti di selatan Thailand, yang mana baru-baru ini berlaku letupan bom,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Rohaimi bersama kumpulan konvoi Biker GAUS di Thailand.
Rohaimi bersama kumpulan konvoi Biker GAUS di Thailand.

Menurut Mohd Rozaimi, pihaknya pernah berkonvoi ke Thailand dan yakin bahawa perjalanan mereka yang dijangka pada 27 Disember ini pun akan selamat serta berjalan lancar seperti sebelum ini.

“Perjalanan lancar dan tiada masalah. Pihak berkuasa polis dan tentera berkawal di jalan raya seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

“Cuma kami dinasihatkan untuk lebih berhati-hati di jalan raya dan sentiasa peka terhadap keadaan sekitar,” jelasnya.

Sabtu lalu, media melaporkan sebuah kereta api barang mengangkut getah yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir selepas landasan kereta api itu dibom.

Pada Selasa, tiga pekerja State Railway of Thailand (SRT) maut manakala empat lagi cedera apabila sebutir bom meletup pada waktu pagi berhampiran dengan tempat kejadian landasan kereta api dibom pada Sabtu, di Sadao, Songkhla.

Sementara itu, Presiden Biker Gabungan Amal Uhkwah Silaturrahim (GAUS), Rohaimi Mungin berkata, kumpulan-kumpulan yang ingin berkonvoi ke Thailand disarankan supaya berhubung dengan penduduk tempatan sebagai rujukan dan panduan.

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

“Untuk mengelakkan perkara-perkara buruk, kita perlu ada orang (kenalan) di sana, maksudnya mereka lebih mengetahui di mana (kawasan yang) selamat sebab kita pun tidak tahu.“Kebanyakannya, apabila bikers (penunggang motosikal) Malaysia masuk ke Thailand, mereka (orang tempatan) memang tidak akan kacau sebab mereka menghormati kita.

“Asalkan kita menghormati peraturan di kawasan mereka dan jangan melanggar undang-undang mereka,” ujarnya.