Kerajaan Perpaduan: Pengundi kecewa tapi mampu beri impak positif

Thomas Fann
Thomas Fann
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan dilihat mampu memberi impak yang positif meskipun diakui telah mengecewakan ramai pengundi dan penyokong parti khususnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann berkata, kompromi yang terpaksa berlaku akan mewujudkan kekuatan, bukannya kelemahan dalam kerajaan.

Menurutnya, kesepakatan demi mencapai janji kepada rakyat juga mampu menjadikan Malaysia lebih baik.

"Kita tahu Kerajaan Perpaduan bukan pilihan rakyat. Setiap pengundi harap parti yang diundi akan jadi kerajaan. Kalau kita lihat, sekarang kita ada situasi di mana mereka terpaksa bekerjasama dan kompromi, pasti ramai pengundi yang kecewa.

"Tapi pada saya ini satu perkara positif sebab dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, kompromi adalah kekuatan bukan kelemahan.

"Saya lihat secara positif di mana kita ada kerajaan lama iaitu BN dan kerajaan baharu, PH dengan idea yang tak sama tapi mereka boleh kompromi demi rakyat. Ini boleh jadi pembangunan yang baik untuk negara.

"Kita mungkin tak mampu capai 100 peratus yang dijanjikan tapi kalau boleh capai 70 peratus atau 50 peratus kesepakatan, negara boleh maju," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Porgram Kompas Rasuah Busters (Malaysia Tanpa Rasuah) bertajuk 'Menanti Sinar Untuk Malaysia' dikendalikan Anim Ezati Rizki.

Artikel Berkaitan:

Turut menjadi panelis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zahid Zamri.

Pada masa sama, Thomas menegaskan, dalam usaha menstabilkan ekonomi negara, reformasi terhadap institusi penting negara perlu dilaksanakan agar landasan untuk membina negara dapat diwujudkan.

Justeru, beliau menyambut baik tindakan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said yang memulakan langkah pertama dalam usaha melakukan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.