Pasaran getah ditutup tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PASARAN getah Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini menjejaki keuntungan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Katanya, pelonggaran sekatan Covid-19 oleh China baru-baru ini turut membantu merangsang sentimen pasaran.

"Niaga hadapan getah Jepun melonjak hari ini selepas disokong oleh peningkatan dalam sentimen perniagaan dan menjejaki keuntungan di pasaran Shanghai berikutan pelonggaran sekatan Covid-19.

"Di samping itu, pelabur berharap permintaan getah dalam kalangan pembeli utama China akan bertambah baik apabila lebih banyak bandar melonggarkan sekatan Covid-19, yang sebelum ini telah mengehadkan aktiviti industri dan penggunaan," katanya.

Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya dihadkan oleh data ekonomi China dan Amerika Syarikat (AS) yang tidak begitu positif termasuk kebimbangan kemelesetan yang akan berlaku di tengah-tengah kelembapan ekonomi serta inflasi yang berpanjangan.

Dilaporkan bahawa defisit perdagangan AS melebar dengan ketara pada Oktober kerana permintaan global yang perlahan dan dolar yang kukuh mendorong eksport barangan ke paras terendah dalam tempoh tujuh bulan.

Sementara itu, imbangan perdagangan China menguncup melangkaui jangkaan pada November disebabkan gangguan berterusan daripada sekatan pergerakan berkaitan Covid-19.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 menokok 8.5 sen kepada 597.5 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 1.5 sen kepada 465.0 sen sekilogram.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 petang, harga penutup MRB bagi SMR 20 ialah 596.0 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 465.0 sen sekilogram. - Bernama