Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan tahun depan

MIDF Research jangkakan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun depan. - Foto 123RF
MIDF Research jangkakan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada tahun depan. - Foto 123RF
A
A
A

MIDF Research menjangkakan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah jangkaan pelbagai situasi tidak menentu pada tahun depan susulan sokongan daripada permintaan domestik yang kukuh.

Pengarah dan ketua penyelidikannya, Imran Yassin Md Yusof berkata, MIDF mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menyederhana kepada 4.2 peratus pada 2023 daripada 8.0 peratus yang dijangka tahun ini, terutamanya disebabkan oleh prestasi lemah perdagangan luar di tengah-tengah kelembapan ekonomi global dan kenaikan kadar faedah.

"Bagaimanapun, MIDF Research optimis permintaan domestik akan menyediakan sokongan kepada ekonomi, mendapat rangsangan daripada perbelanjaan berterusan pengguna, tekanan harga yang menyederhana, aktiviti berkaitan pelancongan yang semakin bertambah baik dan kemungkinan pemulihan projek infrastruktur,” katanya pada taklimat media mengenai tinjauan pasaran tahun depan di sini hari ini.

Imran Yassin berkata, tekanan inflasi menjadi fokus utama tahun ini berikutan limpahan permintaan kukuh tahun lepas dan diburukkan oleh konflik Ukraine-Rusia yang menyebabkan harga komoditi tinggi manakala sekatan pergerakan akibat Covid-19 di China telah menyebabkan gangguan rantaian bekalan.

"Susulan inflasi tinggi, pihak berkuasa kewangan di seluruh dunia mengambil pendekatan mengetatkan monetari bagi membendung tekanan harga dan menangani jangkaan inflasi,” katanya.

Menurutnya, langkah agresif menaikkan kadar oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) telah menyebabkan tekanan ke atas aset risiko terutamanya di pasaran ekuiti, bon dan mata wang.

Beliau berkata, ekonomi global dijangka menyusut pada 2023 disebabkan terutamanya pertumbuhan perlahan di ekonomi-ekonomi maju manakala ekonomi pasaran sedang pesat membangun akan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan global apabila aktiviti ekonomi domestik terus pulih daripada pandemik global.

Bagaimanapun, beliau berkata, ekonomi dagangan yang terbuka dijangka menerima kesan daripada jangkaan penurunan permintaan akhir dan pelarasanan dalam aktiviti pengeluaran global. - Bernama

Artikel Berkaitan: