Penantian keluarga berakhir, reda pemergian Ujang

Norliza menunjukkan kasut milik Allahyarham yang diserahkan oleh pihak berkuasa. (Gambar dalam : Abu Zahrin)
)
Norliza menunjukkan kasut milik Allahyarham yang diserahkan oleh pihak berkuasa. (Gambar dalam : Abu Zahrin) )
A
A
A

KUALA PILAH - “Alhamdulillah dan sedikit lega apabila penantian kami berakhir walaupun abang Ujang ditemukan sudah meninggal dunia," kata Norliza A Hassan.

Norliza, 53, merupakan adik bongsu kepada lelaki warga emas, Abu Zahrin A Hassan, 67, yang ditemui maut selepas hilang sejak 22 November lalu selepas keluar rumah di Kampung Sikai, Gunung Pasir, Seri Menanti dekat sini.

Abu Zahrin yang mesra dipanggil Ujang ditemukan meninggal dunia di kawasan semak di Kampung Jumbang, di sini pada jam 2.30 petang Selasa oleh seorang pemilik dusun.

Jelas Norliza, seluruh keluarganya reda dengan pemergian abangnya itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk orang kampung, anggota polis serta individu yang tidak dikenali turut mencari dan mengesan Allahyarham sejak berita kehilangannya tersebar.

"Ketika ini mayat masih lagi berada di hospital untuk bedah siasat, Insya-ALLAH akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sikai hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di kampung berkenaan pada Rabu.

Dalam pada itu, Norliza berkata, mereka sekeluarga tidak pernah berhenti mencari arwah, malah sejak tiga hari lalu abang sulungnya, Muhammad Sharif A Hassan, 75, setia menanti kepulangan Abu Zahrin dengan bermalam di rumah pusaka mereka.

"Abang long sentiasa menyalakan lampu rumah dengan harapan abang Ujang pulang," katanya.

Sementara itu, menceritakan kembali detik penemuan abangnya itu, Norliza berkata, dia tidak menyangka abangnya itu mampu berjalan dan mendaki bukit di kawasan dusun berkenaan iaitu tempat mayatnya dijumpai.

"Berdasarkan keadaan fizikal dan usianya selain kesihatan mentalnya yang tidak begitu baik, tidak sangkalah arwah mampu berjalan sehingga ke situ sebab arwah tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.

"Bagaimana makan minumnya sepanjang hilang, banyak juga persoalan tetapi kami sudah reda dan berharap segala urusan kami selepas ini dipermudahkan oleh-Nya," katanya.